Home Seni Hidup Dira bawa ibu jumpa Hishamuddin

Dira bawa ibu jumpa Hishamuddin

Foto Instagram Dira Abu Bakar.
Foto Instagram Dira Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Selepas dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan 30 Jun lalu, pelakon, Dira Abu Zahar dapat memenuhi impian ibunya untuk bertemu dengan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 34, berkata, kali terakhir ibunya, Datin Seri Khadijah Mohamad Jiddy berbual dengan dengan bekas Naib Presiden UMNO itu pada 14 tahun lalu.

“Sudah 14 tahun, pertama kali jumpa di majlis persandingan abang saya, Datuk Seri Hishamuddin bertanya kepada emak jika ada mana-mana anak yang terlibat dengan politik.

“Emak menunjuk abang saya yang ketika itu menyertai Pemuda UMNO dan saya ketika itu hanya memenangi pilihan raya kampus (MPP).

“Anda (Hishamuddin) beritahu mak saya untuk membawa sesiapa dari kami bertemu dengan anda untuk tujuan bimbingan politik,” tulisnya di Instagram miliknya semalam.

Dira merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka pada 23 Mei 1997 sehingga 2 Disember 1999, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Allahyarham meninggal dunia pada 11 Julai 2013 di kediamannya di Merlimau, akibat kencing manis dan komplikasi buah pinggang.

Dira memuat naik foto bersama Hishamuddin dalam pertemuan pertama mereka selepas mesyuarat MT pertama berlangsung.

Sementara itu, Dira memberitahu, ibunya mula meminta dia untuk bertemu dengan Hishamuddin sejak dia memeggang jawatan sebagai Exco Puteri UMNO lagi.

“Emak sentiasa mengingatkan saya untuk bertemu dengan beliau ketika saya menjadi exco Puteri UMNO lagi. Segan yang amat untuk berjumpa orang hebat macam Datuk Seri.

“Tapi selepas mesyuarat pertama MT, beliau menjemput saya untuk datang ke rumah dan berjumpa. Saya datang dan kami berbual panjang,” ujarnya. – MalaysiaGazette