Home Sukan FAM gantung 4 pemain

FAM gantung 4 pemain

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung dua perlawanan ke atas empat pemain Liga Malaysia gara-gara kesalahan berkelakuan ganas sepanjang aksi Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, keputusan itu dibuat dengan menggunapakai Artikel 81 Kod Tatatertib FAM pada mesyuarat Jumaat lalu.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, penggantungan dua perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Kes pertama melibatkan pemain Kelantan, Mohd. Khairul Asyraf Ramli dikenakan hukuman gantung dua perlawanan selepas memukul dan menyepak kaki kanan pemain Kedah, Andik Vermansyah ketika saingan Liga Super di Stadium Darul Aman pada 8 Jun lalu.

Tiga lagi pemain dari Liga Perdana iaitu Argzim Redzovic dari pasukan PDRM yang menyiku bahagian dada pemain Johor Darul Ta’zim II (Muhammad Fazly Mazlan) ketika aksi di Stadium Majlis Perbandaran, Pasir Gudang juga didapati bersalah.

Turut menerima hukuman penggantungan adalah Pemain Pasukan Johor Darul Ta’zim II, Muhammad Fazly Mazlan yang menumbuk pipi pemain PDRM, Argzim Redzovic.

Selain itu, pemain UKM FC, Mohamad Alif Jamaluddin yang menyiku di bahagian muka pemain Terengganu FC II (Md Hassan Basri) turut dijatuhkan hukuman yang sama.

Semua keputusan keputusan tidak boleh dirayu. – MalaysiaGazette

+ posts