Home Politik Insentif PH Johor untuk mahasiswa ciplak idea kerajaan BN

Insentif PH Johor untuk mahasiswa ciplak idea kerajaan BN

Muhamad Syafik Rahmat
Muhamad Syafik Rahmat

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kepimpinan Mahasiswa Johor menggesa kerajaan negeri Johor menambah baik skim bantuan pelajaran kepada golongan mahasiswa di negeri itu sebagai kelangsungan untuk mereka meneruskan pengajian.

Pengerusinya, Muhamad Syafik Rahmat berkata, langkah itu perlu bagi mengelak mahasiswa terjerumus ke lembah ‘pinjam meminjam’ dan ‘mengemis’ bantuan kewangan.

Katanya, pada masa ini langkah kerajaan negeri melaksanakan Insentif Harapan Siswa yang dikatakan sebagai janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor, dilihat sekadar menciplak dan mengubah nama skim bantuan pendaftaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang telah diperkenalkan sejak pemerintahan Barisan Nasional.

“Ia hanyalah skim bantuan sama yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor sebelum ini.

“Pengumuman itu juga dilihat seperti manipulasi retorik kerajaan pimpinan Datuk Osman Sapian dalam mengaburi mata rakyat, terutamanya golongan mahasiswa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhamad Syafik berkata, bantuan yang sama telah diperkenalkan kepada mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Johor termasuk Kolej Pengajian Islam (MARSAH), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dan beberapa IPTS di EduCity Iskandar Puteri.

Jelasnya, ketika itu bantuan turut diberikan dengan memansuhkan 100 peratus caj pinjaman pelajaran YPJ.

Tambah beliau, ia terbukti meringankan beban kos melanjutkan pelajaran terutama membabitkan mahasiswa yang baru mendaftar dan memulakan pengajian mereka.

Katanya lagi, rizab kerajaan negeri yang tinggi seharusnya digunakan sebaiknya bagi melunaskan janji-janji PH dan bukannya sekadar mengulang kembali apa yang telah dilakukan kerajaan terdahulu.

“Kami berharap, sekiranya terdapat pelbagai inisiatif baik yang telah ada dimulakan oleh kerajaan Johor sebelum ini dikekalkan jenamanya dan bukan sekadar mengubah nama semata-mata demi langkah populis yang disebabkan oleh perbezaan politik dan pendirian.

“Kami mengharap sesuatu bantuan dan idea baru yang lebih segar demi kepentingan dan manfaat kepada semua rakyat Johor khususnya buat mahasiswa,” ujarnya. – MalaysiaGazette