KUALA LUMPUR – Kebergantungan kanak-kanak pada gajet elektronik sepatutnya dicegah sejak awal bagi memastikan tumbesaran mereka tidak hanya berorientasikan peralatan itu semata-mata.
Isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhammad berkata, buku dan bahan bacaan adalah alternatif yang paling efisien dalam membasmi gejala ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut beliau, pilihan alternatif ini pada hakikatnya bertindak sebagai serampang dua mata kerana pada masa sama, ia turut menyemai tabiat mencintai ilmu dari awal.
“Rata-rata kanak-kanak belajar dengan sangat berkesan melalui interaksi dengan manusia dan bukan interaksi dengan skrin,” ujarnya ketika merasmikan Pusat Sumber Pendidik dan Perpustakaan Kanak-Kanak (PSPK) PPBM 2018 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mardiana berkata, tabiat membaca perlu diterapkan kerana ruang lingkup yang lebih canggih dan bahan bacaan menarik akan lebih merangsang minat membaca kepada kanak-kanak.
“Perlu ada inovasi ilmu dalam suasana kekeluargaan yang akan merealisasikan budaya membaca sepanjang hayat dan ia boleh dirancakkan dengan bantuan taska atau pengasuh berdaftar.
“Kesedaran, pengetahuan dan kompetensi ke arah penggunaan teknologi secara optimum akan dapat membantu merealisasikan potensi teknologi terhadap pembelajaran kanak-kanak secara efektif dan efisien.
“Peringkat awal perkembangan kanak-kanak sangat penting. Pendidikan prasekolah yang berkualiti dapat menyediakan kanak-kanak dengan peluang untuk membina keyakinan diri, belajar kemahiran bermasyarakat dan membentuk tingkah laku pembelajaran yang baik.
“Inisiatif Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia dalam sentiasa mengusahakan program kesejahteraan kanak-kanak sejak 29 tahun ini banyak membawa kebaikan serta manfaat ,” ujar beliau.
PPBM bersama Nippon Paint bekerjasama menubuhkan PSPK di ibu pejabatnya di Kelana Jaya dengan yuran keahlian kanak-kanak sebanyak RM5 setahun.
Matlamat utama PSPK ini bagi untuk menanam minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dari awal usia kecil lagi selain daripada melaksanakan program outreach minat membaca serta mesra buku ketika membesar.
Sementara itu, menurut Presiden PPBM, Norsheila Abdullah, kanak-kanak ketika zaman teknologi ini begitu taksub dengan gajet kerana kemudahan itu disediakan oleh ibu bapa sendiri.
“Kanak-kanak taksub dengan gajet pada usia awal bayi lagi, ibu bapa telah menyediakan kemudahan ini tanpa ambil kira adakah ia satu keperluan atau kehendak anak-anak mereka dengan mudah.
“Mungkin ibu bapa bimbang anak-anak mereka akan melepasi peredaran zaman IT. Pengajaran serta pembelajaran IT melalui penggunaan gajet adalah digalakkan tetapi perlu dipantau. Kanak-kanak kini terlalu taksub sehingga lupa untuk bersosial dengan keluarga atau persekitaran kerana adanya gajet.
“PPBM dan Nippon Paint telah mengambil inisiatif menyediakan PSPK di ruang yang kecil bagi mewujudkan budaya menyelak halaman buku supaya kanak-kanak berimaginasi merentasi apa yang dilihat, disentuh, didengari dari hanya membaca buku sahaja.
“Ini juga akan bantu mereka untuk berinteraksi serta bergaul dengan ibu bapa, pengasuh atau pendidik ketika berada di perpustakaan,” katanya.
Selain daripada PSPK, pada fasa kedua nanti, PPBM berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan secara mobil ke taska-taska dan pusat aktiviti kanak-kanak sebagai tanggungjawab sosial di sekitar pangpasapuri kos rendah di Lembah Klang sebagai permulaan. – MalaysiaGazette