Home Utama Tak jadi kahwin gara-gara fitnah fahaman Wahabi

Tak jadi kahwin gara-gara fitnah fahaman Wahabi

Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Al-Madinah Antarabangsa (MEDIU), Prof. Emeritus Dr. Ismawi (tengah) bersama Ketua Jabatan Pemasaran Universiti Al-Madinah Antarabangsa (MEDIU), Mohd Sahrin Ab. Rahman (kiri) dan Timbalan Pendaftar Disiplin, Kaunseling dan Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa Universiti Al-Madinah Antarabangsa (MEDIU), Bibi Asma' Sher Mohamad (kanan) menunjukkan surat pengesahan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa mengenai status MEDIU yang kini bebas daripada silibus radikal dan pusat ekstremis Malaysia di Kampus Utama MEDIU, Desa Petaling, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 12 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Al-Madinah International University (Mediu) menjadi mangsa fitnah oleh  ‘orang tertentu’ yang telah pun mengaku melakukan kesilapannya.

Ketua Eksekutif Mediu, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, sebagai umat Islam, pihaknya memaafkan individu tersebut dan tidak berhasrat mengambil tindakan mahkamah.

Jelas beliau, Mediu ingin memandang ke hadapan demi masa depan pelajar selepas lebih dua tahun berdepan pelbagai masalah gara-gara fitnah itu.

“Saya pergi bertemu ‘orang itu’ dan beliau mengaku kesilapannya. Saya pun sudah memaafkan beliau dan tidak mahu bersikap emosi.

“Apa yang penting, Mediu kini bebas daripada fitnah membawa fahaman Wahabi dan silibus radikal. Bagi saya, pertolongan daripada Allah SWT didengari bila kita sentiasa berdoa.

“Ramai yang datang membantu untuk membersih nama Mediu dan kami dipermudahkan apabila mengikut saluran yang betul serta dibukakan pintu halangan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di kampus utama Mediu di Desa Petaling hari ini.

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan penerimaan surat pengesahan daripada empat agensi selepas semakan silibus akidah Mediu dibuat bermula Mac tahun lalu.

Empat agensi itu adalah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengesahkan Media bebas faham wahabi, silibus dan unsur militan.

Pada Mac 2016, Mediu dibelenggu dakwaan terlibat dengan aktiviti pengajaran yang dikaitkan dengan penyebaran fahaman Wahabi atau ajaran Syiah selain isu silibus radikal dan ekstremis.

Mengulas lanjut, Ismawi berkata, fitnah tersebut menyebabkan Mediu berdepan kekangan sumber dana, selain ketakutan pihak yayasan negeri yang ingin menaja dan memberi pinjaman kepada pelajar.

Selain Mediu digantung mengambil pelajar antarabangsa, beliau berkata, lebih menyedihkan pelajar yang sudah tamat pengajian menjadi mangsa apabila ijazah mereka ditahan oleh MQA.

“Itu belum lagi ada yang tidak jadi berkahwin kerana menjadi pelajar Mediu apabila bakal mertua tidak restu gara-gara fitnah fahaman wahabi di Mediu.

“Ada juga yang bergaduh sesama ahli keluarga namun kami bersyukur tindakan pelajar yang berhenti belajar adalah kes terpencil sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette