PUTRAJAYA – Pengguna domestik tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik bagi tempoh enam bulan akan datang kerana disubsidi oleh kerajaan.
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan memperuntukan sejumlah RM114 juta bagi membolehkan 81.7 peratus pengguna elektrik tidak perlu membayar surcaj elektrik.
“Tengok bil elektrik anda, tidak ada surcaj kerana kerajaan sudah membayar untuk anda,” katanya ketika ditemui selepas sesi Town Hall dengan pemegang-pemegang kepentingan sektor tenaga di sini.
Jelasnya, kos subsidi itu adalah daripada Dana Industri Bekalan Elektrik yang mempunyai simpanan sebanyak RM760 juta.
Beliau berkata, langkah kerajaan memberi subsidi itu bagi melindungi para pengguna daripada sebarang kenaikan harga.
Baru-baru ini, Tenaga Nasional Bhd mengumumkan pelanggan komersial dan perniagaan perlu membayar surcaj 1.35 sen/kWj berikutan kos penjanaan dan bahan api yang tinggi mulai 1 Julai lalu.
Purata tarif asas kekal tidak berubah pada 39.45 sen/kWj
Pelarasan itu, bagaimanapun, tidak melibatkan pelanggan isi rumah dengan penggunaan bulanan di bawah 300/kWj. – MalaysiaGazette