KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars
Refinery Sdn Bhd (CSR) menafikan industri gula di negara ini dimonopoli.
Sebaliknya, gula masih dikawal oleh kerajaan.
MSM berkata, syarikat itu yang merupakan subsidiari FGV Holdings Berhad dan CSR di bawah Tradewinds (M) Berhad merupakan dua pengeluar gula di Malaysia – dengan lima buah kilang penapisan gula termasuk di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor yang dijadualkan untuk beroperasi pada bulan ini.
Kapasiti terkini berjumlah 2 juta tan metrik setahun dan merangkumi empat buah kilang penapisan.
Permintaan gula tempatan adalah dianggarkan sebanyak 1.5 juta tan metrik setahun secara tidak langsung menawarkan lebihan kapasiti sebanyak 500,000 tan metrik setahun.
Tetapi setelah kilang penapisan gula di Johor beroperasi sepenuhnya, jumlah kapasiti akan meningkat kepada 3.0 juta tan metrik gula setiap tahun.
MSM menambah, selain daripada jenama gula tempatan, beberapa jenama gula dari luar negara diimport ke Malaysia dan dipasarkan seperti SIS, Taikoo, Waitrose, Billington, Tate & Lyle yang turut memberi persaingan pada industri gula di Malaysia.
Sementara itu, para pengusaha industri seperti pengeluar produk minuman dan makanan turut mendapatkan gula melalui NY#11 (platform perdagangan komoditi global bagi gula mentah).
Pengeluar gula tempatan pula akan membuat pembelian bagi pihak syarikat- syarikat
tersebut, seterusnya mengimport gula yang telah diperoleh dan menapisnya dengan kadar bayaran tertentu.
MSM menambah menjadi tanggungjawab pengeluar tempatan untuk memastikan bekalan gula yang mencukupi di Malaysia.
Katanya, sejumlah kuantiti gula akan disimpan bagi memastikan bekalan cukup ketika berlaku peningkatan harga gula mentah dunia.
Jelasnya, harga gula Malaysia juga diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti – Pencatutan 2011 (Penentuan Harga Maksimum – No.2, Perintah 2017) dan merupakan antara yang terendah di dunia.
Kini, harga siling bagi gula pasir kasar telah ditetapkan sebanyak RM2.95/kg manakala gula pasir halus pada RM3.05/kg.
Pada hari ini, harga gula bertapis di Malaysia merupakan antara yang paling rendah dengan kadar RM 2.95/kg.
Harga gula di Malaysia bukan sahaja lebih murah berbanding negara – negara lain yang mempunyai pendapatan per kapita rendah seperti Kemboja, Myanmar dan Indonesia malah lebih murah daripada negara – negara pengeluar gula seperti Thailand,
Indonesia dan Filipina. – MalaysiaGazette