Home Nasional Ketua Hakim bukan Islam: Kerajaan jamin kedudukan Islam tidak tergugat

Ketua Hakim bukan Islam: Kerajaan jamin kedudukan Islam tidak tergugat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, selain tidak boleh didiskriminasi, golongan LGBT tidak harus tercicir hak untuk mendapatkan keadilan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dalam kalangan bukan orang Islam dan Melayu tidak akan menggugat keistimewaan kedudukan agama Islam dan kaum Melayu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata tidak timbul isu ‘tidak selamat’ apabila Tan Sri Richard Malanjum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu kerana pelantikan beliau dibuat berdasarkan kelayakan dan dari sudut kekananan dalam perkhidmatan.

Cadangan yang dikemukakan kerajaan untuk melantik Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara juga mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V), katanya.

“Baginda tidak akan memperkenan sesuatu yang bercanggah dan merosakkan agama sedangkan Baginda adalah pelindung agama Islam,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis sambutan hari raya di Kompleks Nasyrul Quran hari ini.

Mujahid melihat bantahan sesetengah pihak terhadap pelantikan jawatan Ketua Hakim itu sebagai kenyataan politik yang mahu merendahkan imej kerajan Pakatan Harapan bahawa seolah-olah Islam sudah tidak dijaga di bawah kepimpinan mereka.

Malanjum, 65, berasal dari Tuaran, Sabah menjadi orang pertama dari negeri-negeri Borneo menyandang jawatan tertinggi itu dalam bidang kehakiman apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara baharu menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai lepas.

Dalam pada itu, Mujahid berkata kewujudan Kompleks Nasyrul Quran sebagai kilang cetak al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Madinah adalah satu keunikan perlu dibanggakan kerana Malaysia mampu menghasilkan naskhah kitab suci dengan keupayaan tersendiri.

Katanya kompleks itu secara tidak langsung dapat menjadikan Malaysia sebagai negara contoh kepada dunia dalam menghasilkan al-Quran yang bermutu tinggi.

“Jika sebelum ini, kita sering melihat naskhah al-Quran versi Timur Tengah, tetapi kita telah berjaya menghasilkan naskhah dengan versi Malaysia,” katanya.

— BERNAMA