JAKARTA – Skuad negara mara ke final Piala AFF Bawah 19 Tahun (B-19) selepas menewaskan Indonesia 3-2 menerusi penentuan penalti dalam saingan separuh akhir, malam tadi.
Skuad B-19 yang dibimbing Bojan Hodak itu berjaya mengheret tuan rumah ke penentuan penalti selepas terikat seri 1-1 dalam tempoh permainan sebenar.
Lebih penting, skuad muda negara ini berjaya mengekal fokus biarpun tuan rumah mendahului jaringan yang menyaksikan Stadium Gelora Delta, Sidoarjo dipenuhi dengan ribuan penyokong Indonesia.
Namun skuad B-19 itu berdepan detik mencemaskan apabila pemain negara dibaling dengan botol minuman dan batu sehingga memaksa mereka berlari masuk ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, pemain negara dikawal rapi pengawal keselamatan dan terpaksa berlari ketika tiada batu dan botol yang dibaling ke dalam padang.
Lebih 26,000 penyokong Indonesia membanjiri stadium untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan musuh ketat itu.
Sementara itu, kemenangan tersebut menyaksikan skuad negara kekal dengan rekod bersih ke final seperti tahun lalu.
Malaysia bakal berdepan dengan juara dua kali (2003, 2005) Myanmar di pentas akhir Sabtu ini.
Sebagai rekod, pasukan B-19 negara tidak pernah merangkul gelaran juara selepas lima kali (2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017) muncul sebagai naib juara. – MalaysiaGazette