Home Nasional Warga teksi mahu buat demo depan Parlimen

Warga teksi mahu buat demo depan Parlimen

KUALA LUMPUR – Satu perhimpunan aman anjuran warga teksi seluruh Lembah Klang akan dilakukan di perkarangan Parlimen Isnin depan.

Penganjuran perhimpunan itu berikutan rasa tidak puas hati dengan ‘layanan’ yang diterima oleh mereka walaupun kerajaan  sudah bertukar.

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), Kamarudin Mohd. Hussain berkata, perhimpunan itu satu usaha ‘terdesak’  warga teksi kerana Kementerian Pengangkutan (MOT) masih lagi gagal memenuhi kehendak mereka.

“Ini merupakan kebangkitan warga teksi, walaupun PERSIM tidak terlibat dengan perhimpunan ini, kita menyokong kerana ini melibatkan periuk nasi mereka.

“Janji sebelum PRU-14 sehingga tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengubah apa-apa sebenarnya dengan keadaan yang menimpa kami warga teksi. Perhatian dan kebajikan yang dijanjikan seolah-olah tidak penting.

“Saya difahamkan perhimpunan ini sememangnya akan diadakan secara aman di perkarangan Parlimen kerana rasa tidak puas hati terhadap pendirian menteri, Anthony Loke yang dilihat masih mengamalkan budaya pemerintahan BN dalam membuat keputusan tertentu.

“Nampak sangat kerajaan masih lagi bergantung harap dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang juga sudah ditukar nama kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang mempunyai fungsi hampir sama.

“Keputusan yang dibuat baru-baru oleh MOT yang meminta kami bersabar malah berhasrat untuk memberi hak sama rata kepada mereka (pemandu-pemandu kereta sapu) yang selama ini telah merompak mata pencarian kami sebenarnya sangat mengecewakan.

“Adakah anda prihatin dengan suasana kehidupan yang amat sengsara, pendapatan kami telah dirompak, keluarga kami berpecah belah, anak pinak kami hidup di dalam kemiskinan, malah imej kami sengaja diburukkan,” katanya kepada Malaysia Gazette sebentar tadi.

Kamaruddin juga mendakwa ribuan dijangka hadir dalam demonstrasi ini terutamanya dari Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah dalam perhimpunan yang sama.

“Mungkin perhimpunan kali ini agak besar sedikit memandangkan rata-rata bersuara dalam group Whatsapp memberi lampu hijau dengan demo aman ini. Pada mereka, keputusan MOT agak tidak adil terhadap warga teksi,” ujarnya.

Anthony Loke
Anthony Loke. foto FAREEZ FADZIL, 04 JUN 2018.

Kamaruddin juga mendakwa Anthony tidak begitu sensitif dengan masalah di dalam industri teksi malah disifatkan telah gagal mengadakan sebarang perbincangan awal dengan wakil-wakil persatuan bagi mencari jalan penyelesaian.

“Sebaliknya, Anthony sejak mengambil alih tampuk tetap berpendirian untuk mengekalkan pegawai-pegawai SPAD yang jelas selama ini tidak mampu membawa sebarang pembaharuan dan menggunapakai laporan SPAD zaman pemerintahan ‘rasuah’ BN.

“Ini sebenarnya menyebabkan rata-rata pemandu teksi yang menyokong kerajaan PH sebenarnya rasa tidak puas hati. Mengapa sehingga kini beliau tidak mahu mengadakan perbincangan dengan pemain industri seperti kami.

“Kami bukan mahu e-hailing diharamkan kerana kami faham dasar kerajaan PH tidak akan membuat keputusan yang akan menyelesaikan masalah satu pihak dan menimbulkan ketidakadilan kepada satu pihak lain.

“Tetapi keputusan yang dibuat oleh  Loke benar-benar menimbulkan rasa tidak puas hati hati semua pihak termasuk pemandu kereta sapu e-hailing,” tegasnya. – Malaysia Gazette

1 Komen

  1. Selama ini teksi ‘merompak’ penumpang, menipu tak nak cerita pula. Bila ada e-hailing yg telus baru nak marah-marah.

Comments are closed.