ENGLAND – Sejak jendela perpindahan musim panas dibuka 1 Julai lalu, West Ham melabur secara agresif dalam merekrut pemain baharu ke kelab itu.
Kehadiran bekas pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini sebagai pengurus baharu the Hammers menyaksikan kelab itu tidak takut untuk membuka dana besar dalam membentuk skuad terkuat.
Mudah kata kelab itu sedang dalam proses transformasi sebagai antara pasukan pesaing Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018-19 dan ia mungkin menjadi kenyataan.
Buat kali kedua kelab itu memecah rekod kelab untuk membelanjakan dana besar berjumlah £50 juta (RM266 juta) untuk mengikat khidmat bintang Brazil Felipe Anderson.
Pemain sayap Lazio, 25, itu kini berada di London untuk menjalani ujian kecergasan fizikal untuk diumumkan sebagai pemain keenam ke kelab itu.
Sebelum ini Hammers berjaya menandatangani pemain baharu iaitu Andriy Yarmalenko, Jack Wilshere dari Arsenal secara percuma, Lukas Fabianski dan Ryan Federicks.
Lebih menarik West Ham hanya mengambil masa 48 jam untuk merekrut kesemua enam pemain itu dan dijangka aktif untuk minggu akan datang bagi menambah beberapa orang lagi.
Hammers kini berada di Switzerland menjelang aksi persahabatan pramusim.
“Kami sedih apabila Andy Caroll dilanda kecederaan dan memerlukan pembedahan segera.
“Bagaimanapun saya berharap mereka pulih segera dan kembali bersama skuad,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pellegrini mengesahkan dia akan terus bekerja keras dengan pemilik kelab untuk merekrut pemain tambahan untuk memperkuatkan skuad.
Kini West Ham dikaitkan dengan pelaburan ke atas pemain bek tengah Lyon, Marcelo dengan bidaan £20 juta.
Keupayaan Pellegrini yang terbukti berkesan bersama Man City sebelum digantikan dengan Pep Guardiola di Etihad Stadium dua musim lalu dijangka disuntik dalam genetik West Ham selepas ini.- MalaysiaGazette