PONTIAN – Parti Amanah Negara (Amanah) mendapat kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bagi menangguhkan pemilihan parti tahun yang sepatutnya berlangsung tahun ini kepada tahun depan.
Timbalan Presidennya, Datuk Salahuddin Ayub berkata bagaimanapun, mesyuarat di peringkat cawangan akan berjalan seperti biasa tahun ini.
“Ya, Amanah ada membuat permohonan (tangguh pemilihan) sebab berlakunya Pilihan Raya Umum ke-14.
Jadi, tahun ini akan diadakan mesyuarat seperti biasa tanpa pemilihan dan tahun hadapan, mesyuarat akan diadakan bersama pemilihan,” katanya kepada pemberita pada program ramah mesra bersama komuniti nelayan di Pangkalan Nelayan Ayer Baloi, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata Amanah menganggap keputusan meletakkan parti mana untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam Pilihan Raya Kecil nanti tidak perlu dibincangkan.-BERNAMA