KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO yang baharu, Tan Sri Annuar Musa berikrar akan sentiasa berada di saf kepimpinan tertinggi parti itu demi perjuangan bangsa dan agama.
Menurut beliau, meskipun UMNO kini berdepan dengan ujian paling getir namun beliau akan tetap memikul tanggungajawab yang digalas.
“Sebagai Setiausaha Agung parti sudah pasti saya akan bekerjasama dengan semua pihak demi kesempurnaan tugas yang diamanahkan kepada saya.
“Kepada Allah saya bertawakkal dan kepadanya saya berserah dan memohon pertolongan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Annuar berkata, beliau berkesempatan untuk bersemuka dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum perlantikannya ke jawatan tersebut.
Katanya, beliau sangat memahami dan menyanjung tinggi iltizam presiden yang berhasrat merekayasa dan merakyatkan perjuangan parti UMNO agar terus menajdi satu wadah umat dan bangsa dalam proses membina negara Malaysia yang aman, makmur, harmoni lagi sejahtera.
“Saya juga berkongsi pendapat betapa kita perlu membina parti ini dengan membawa perubahan yg komprehensif dan menyeluruh sehingga ia menjadi satu landasan pilihan buat rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, kaum Bumiputera dan umat Islam di Malaysia,” ujarnya.
– MalaysiaGazette