Home Utama Kerajaan kena sedia insentif pembangunan rumah mampu milik

Kerajaan kena sedia insentif pembangunan rumah mampu milik

Presiden REHDA, Datuk Seri Fateh Iskandar (dua kiri) bergambar kenangan bersama Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip (dua kanan) dan ahli tertinggi REDHA selepas selesai memberikan taklimat media tentang Laporan Perumahan Mampu Milik di Wisma REHDA, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2018

PETALING JAYA- Sayap penyelidikan, latihan dan pendidikan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), Rehda Institute mencadangkan kerajaan supaya memudahcara dan menyediakan insentif bagi pembangunan rumah mampu milik dan bukannya bersaing dengan pemaju swasta.

Menurut pengerusinya, Datuk Jeffrey Ng, ada keperluan di dalam menyelesaikan masalah perumahan sosial dan awam dan perkara tersebut sepatutnya menjadi fokus kerajaan serta menjadi perkara utama di dalam menyampaikan agenda nasional.

“Ia bukanlah sesuatu yang sihat apabila kerajaan bersaing dengan sektor swasta seperti apa yang berlaku kepada projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

“Terdapat beberapa lokasi yang mana pemaju swasta terpaksa bersaing dengan PR1MA sedangkan ia merupakan satu persaingan yang tidak adil.

“Ini kerana model, struktur kos di antara pemaju kerajaan dan swasta adalah berbeza tetapi mereka mempunyai sasaran pasaran dan harga yang sama sedangkan kos yang ditanggung PR1MA adalah jauh lebih murah disebabkan oleh kos tanah yang lebih rendah, pengecualian cukai, sumber pembiayaan yang berbeza serta faktor perlesenan,” katanya semasa taklimat media sempena pelancaran Laporan Perumahan Mampu Milik di sini hari ini.

MGF14072018_ LAPORAN PERUMAHAN MAMPU MILIK03
Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip bercakap ketika memberikan taklimat media tentang Laporan Perumahan Mampu Milik di Wisma REHDA, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2018

Taklimat tersebut turut dihadiri Pengerusi Rehda, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor.

Isu itu merupakan antara perkara utama yang diketengahkan di dalam laporan yang julung kali diterbitkan itu.

Laporan tersebut turut mendedahkan fakta bahawa terdapat terlalu banyak pemain di dalam pasaran yang terdiri daripada sektor awam dan swasta menyebabkan kurangnya koordinasi serta tiada pendekatan holistik.

Ia akhirnya menyebabkan banyak rumah yang tidak mampu dijual.

Tambah Jeffrey, sebuah agensi pusat khas perlu ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mendefinisikan semula peranan kerajaan dan pemaju swasta di dalam penyediaan rumah mampu milik di bawah satu pelan induk yang menyeluruh.- MalaysiaGazette