Home Utama Mohamed Apandi tarik diri jadi Ahli MT UMNO

Mohamed Apandi tarik diri jadi Ahli MT UMNO

Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR- Beberapa jam selepas nama Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO kini bekas Peguam Negara itu menarik diri.

Keputusan itu diambil selepas Mohamed Apandi memikirkan dengan mendalam dan semasak-masaknya.

“Setelah berfikir semasak-masaknya, dan dengan mendalam, saya berasa adalah tidak wajar untuk menerima pelantikan sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO,” katanya melalui kenyataan media malam ini.

Sebelum itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Mohamed Apandi dan 10 yang lain sebagai ahli MT UMNO.

Bagaimanapun selepas pengumuman Ahmad Zahid, ia tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak dalam parti sendiri.

Dalam masa yang sama, Mohamed Apandi berkata, penolakan pelantikan itu adalah kerana risau ia akan menimbulkan persepsi negatif yang akan dikaitkan dengan keputusannya semasa menjadi peguam negara.

“Apa yang bermain difikiran saya adalah pelantikan tersebut akan diselubungi dengan pelbagai persepsi negatif yang mungkin dikaitkan dengan apa jua tindakan dan keputusan saya semasa menjalankan tugas sebagai seorang hakim dan peguam negara,” katanya.

Ketika menjadi peguam negara, Mohamed Apandi telah membersihkan nama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB dan SRC International.- MalaysiaGazette