Home Dunia Ditentang rakyat, Perdana Menteri Haiti lepaskan jawatan

Ditentang rakyat, Perdana Menteri Haiti lepaskan jawatan

Jack Guy Lafontant . foto Agensi

PORT-AU-PRINCE – Perdana Menteri Haiti, Jack Guy Lafontant melepaskan jawatannya selepas berdepan dengan undi tidak percaya.

Beliau mendapat bantahan keras daripada rakyat Haiti selepas menaikkan harga bahan api negara itu sehingga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran.

Lafontant telah mempertahankan keputusannya itu ketika berucap di Dewan Rakyat.

Katanya, Presiden Jovenel Moise menerima peletakan jawatan Lafontant.

“Seperti yang saya nyatakan pada anda, saya berkhidmat kepada negara ini,” ujar beliau dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen.

Awal bulan ini, Kerajaan Haiti mengumumkan penurunan subsidi minyak sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kenaikan itu menyaksikan 38 peratus kenaikan harga gasolin dan 47 peratus bagi diesel.

Sebagai maklum balas, rakyat Haiti melakukan tunjuk perasaan dengan menghalang jalan raya, membakar bangunan komersial dan kenderaan di Port-au-Prince.

Kejadian itu menyebabkan beberapa kedutaan terpaksa ditutup dan syarikat-syarikat penerbangan menggantung operasi selama beberapa hari.

Lafontant yang juga seorang doktor perubatan dilantik sebagai Perdana Menteri Haiti pada Mac tahun lalu dengan azam untuk merangsang pertanian, menambah baik infrastruktur dan meluaskan akses air bersih. – MalaysiaGazette