KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan memberi jaminan pengurangan kos projek LRT3 tidak akan mengorbankan kesejahteraan dan keperluan rakyat.
Ini kerana, katanya, projek LRT3 tidak sepatutnya menelan kos lebih daripada RM10 billion.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya berkata, projek LRT3 secara rasmi diluluskan oleh Kabinet pada bulan Ogos 2015 dengan anggaran kos sebanyak RM10 billion yang terdiri daripada RM9 billion untuk Kontrak Pakej Kerja (WPC) dan RM1 billion untuk pengambilan tanah.
Namun begitu, pada bulan Mac 2018, anggaran kos WPC telah meningkat dengan mendadak kepada RM15.68 billion dan kos pengambilan tanah kepada RM2 billion
Selepas mengambil alih kerajaan pada bulan Mei 2018, kerajaan mendapati punca peningkatan kos yang sangat luar biasa dan tidak teratur kerana Prasarana telah membuat perubahan yang sangat besar kepada spesifikasi LRT3 jauh lebih tinggi daripada keperluan.
“Dalam erti kata lain, terdapat percubaan secara sengaja untuk mengubah reka bentuk secara berlebih-lebihan dan meningkatkan perbelanjaan yang tidak perlu.
“Ini mendorong kerajaan baru menjalankan semak semula yang menyeluruh terhadap spesifikasi LRT3 dan proses rasionalisasi kos komprehensif dalam tempoh 2 bulan yang lalu,” katanya.
Jelas kementerian itu, tanpa semakan semula sudah tentu kos LRT3 menelan perbelanjaan RM31.65 billion.
Satu faktor utama yang mendorong jumlah kos ialah pilihan untuk membeli lebih banyak keretapi/tren LRT yang kemudiannya mengakibatkan pembesaran kepada stesen LRT.
Dalam skim LRT3 awal yang dikemukakan oleh Prasarana pada tahun 2014 kepada SPAD untuk kelulusan pengawalseliaan, keretapi yang dicadangkan adalah kereta api 4-kereta dan platform stesen dengan kepanjangan 82m.
Cadangan asal dibuat setelah mempertimbangkan penemuan kajian penumpang yang dijalankan oleh kumpulan profesional.
Walau bagaimanapun, apabila tender keretapi dipanggil pada tahun 2017, spesifikasi telah berubah menjadi 42 unit kereta api 6-kereta.
Oleh yang demikian, bagi menampung tren yang lebih panjang (6-kereta dan bukannya 4-kereta), platform stesen perlu dipanjangkan dari 82m asalnya kepada 122m.
Selain daripada pembesaran stesen, pilihan reka bentuk dan bahan pembinaan juga ‘ditingkatkan’ seperti cadangan penggunaan lantai jubin granit serta seni bina bumbung ikonik dan bukannya lantai jubin dan bumbung biasa seperti cadangan asal.
“Kerajaan baru telah memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan-cadangan yang ‘berlebihan’ itu kerana kemudahan LRT adalah untuk kegunaan awam dan tidak perlu untuk kelihatan seperti pejabat korporat atau hotel mewah.
“Keputusan pembelian asal sebanyak 42 unit kereta api 6 kereta akan diubah kepada 22 unit kereta api 3 kereta (penjimatan dianggarkan berjumlah RM500 juta). Dengan selang waktu perkhidmatan 6 minit yang dicadangkan, kapasiti bagi kereta api 3-kereta adalah 6,210 penumpang satu jam setiap arah (PPHPD).
“Berdasarkan kajian unjuran penumpang yang dilakukan sebelum ini, jumlah ini cukup untuk menampung permintaan hingga 2035.
” Dalam hal ini, pemilik aset pengendali LRT3 akan mengawasi dengan teliti kecenderungan pertumbuhan penumpang yang sebenarnya sehingga tahun 2030 bagi memutuskan apakah dan bilakah perolehan set tren tambahan diperlukan,” katanya.
Kementerian Pengangkutan percaya pendekatan ini lebih baik berbanding menanggung kos operasi yang tinggi akibat kapasiti tren separa penuh buat masa ini. – MalaysiaGazette