Home Politik Kami bantah prosedur bukan speaker, kata Zahid

Kami bantah prosedur bukan speaker, kata Zahid

Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba pada Majlis Mengangkat Sumpah ahli-ahli Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Dewan Rakyat pembangkang bertindak keluar dewan selepas membantah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof hari ini.

Bantahan itu kerana notis pemberitahuan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat didakwa tidak mengikut prosedur.

Notis tersebut dimaklumkan sepatutnya diserahkan tidak kurang daripada 14 hari sebelum parlimen mula bersidang.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya tidak membangkang calon tetapi prosedur pelantikan itu tidak mengikut peraturan seperti yang termaktub.

“Kita bukan sengaja keluar dewan untuk timbulkan keadaan huru hara sebaliknya membantah cara pelantikan yang dilakukan tanpa mengikut peraturan mesyuarat seperti termaktub.

“Kita mahu persidangan ini ditangguhkan dua minggu sehingga isu berkaitan ini selesai, kita tidak bantah calon malah tidak ada calon yang kita hantar nama untuk bantah,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Justeru, katanya, pihaknya kecewa dan terpaksa melakukan bantahan dalam Dewan Rakyat yang tidak ‘dilayan’ sehingga terpaksa keluar beramai-ramai bagi menunjukkan protes berikutan

“Setiausaha Dewan mengatakan ianya mengikut lunas undang-undang tetapi kami ada bukti yang cukup standing order atau peraturan mesyuarat sebenarnya tidak di patuhi dalam isu pelantikan Speaker Dewan Rakyat.

“Ingin saya tegaskan, kami tidak ada isu pelantikan Mohamad Ariff yang merupakan bekas hakim negara sebaliknya cara pelantikan itu sebenarnya tidak mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub.

“Kita tidak tentang speaker sebaliknya mempersoalkan proses usul bagi penamaan calon Yang Dipertua yang ternyata tidak menepati peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang memperuntukkan nama perlu diusul 14 hari sebelum mesyuarat bermula. Dalam kes ini, ianya tidak berlaku.

“Kita ambil keputusan keluar tinggalkan Dewan kerana menghormati undang-undang. Kita mohon supaya persidangan ditangguhkan selama 14 hari sehingga selesai isu ini kerana dunia di luar sana sedang memerhatikan kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyyudin Hassan yang meminta point of order mengatakan, beliau turut serta dengan pemimpin BN dan UMNO berjalan keluar kerana senada peraturan mesyuarat tidak dipatuhi.

“Walaupun pandangan mengatakan sebelum angkat sumpah, ahli Dewan tidak boleh bercakap tetapi standing order yang kita bangkitkan ini adalah berkaitan dengan pemilihan speaker. Perlu dibenarkan sebelum pemilihan speaker. Tetapi, kita tidak dibenarkan bersuara.

“Point of order 4 (1) mengatakan untuk pemilihan speaker perlu ada tiga elemen, pertama calon bersetuju sekiranya dipilih, kedua, pihak yang mencadangkan itu perlu membuat notis cadangan dalam bentuk bertulis dan yang ketiga, notis itu perlu sekurang-kurangnya 14 hari sebelum bersidang.

“Tetapi kita ada tujuh bukti berbentuk fakta yang menunjukkan tidak ada notis bertulis dalam tempoh sebelum 2 Julai lepas seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu. Ini termasuk laporan media yang menyokong dakwaan kami. Kita sebulat suara membantah cara penamaan calon Speaker Dewan Rakyat ini,” ujarnya.

Dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Pangerang yang juga merupakan Ketua Whip BN, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, reputasi Mohamad Ariff sebagai bekas hakim tercalar terutama apabila peraturan itu tidak dipatuhi seperti yang termaktub.

“Beliau bukan orang yang calang-calang sebaliknya bekas hakim negara. Beliau juga mantan dekan Universiti Malaya. Seorang individu yang sangat dihormati dan terkenal. Kita tidak membantah beliau sebagai calon tetapi cara ini tidak betul.

“Jika kita bantah dengan sengaja patutnya kita sudah hantar nama lain yang kita pilih, kita tidak pernah hantar apa-apa nama. Kita walk out bukan kerana personaliti beliau tetapi cara pelaksanaan penamaan itu tidak ikut undang-undang mesyuarat seperti yang termaktub.

“Kita mahu beliau mulakan tugas sebagai mengikut undang-undang standing order. Kita minta tangguh 14 hari kerana mahu nama itu dihantar kembali mengikut peraturan mesyuarat. Itu sahaja.

“Kita dalam BN sebelum ini awal-awal lagi sudah hantar nama ikut peraturan, kenapa dengan kerajaan baru ini hantar nama last minute? Kita tidak bantah, letak sesiapapun kita ok tetapi ikutlah peraturan.

“Jangan sampai isu ini di bawa ke mahkamah, saya tidak yakin notis telah dihantar dua minggu sebelumnya. Sebelum ini Pakatan Rakyat selalu tuduh BN tidak ikut peraturan tetapi ini hari pertama, anda pula tidak ikut peraturan,” ujarnya.

Terdahulu, Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan pihaknya menerima surat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung cadangan pelantikan Mohamad Ariff pada 2 Julai lalu.

Mahathir kemudian mengumumkan pelantikan Mohamad Ariff sebagai speaker yang seterusnya mendapat bantahan daripada anggota parlimen pembangkang.

Namun demikian, bantahan dan keluar dewan oleh pembangkang itu tidak memberi kesan kepada pelantikan Mohamad Ariff.

Ketika kekecohan berlaku, Mahathir tidak menghiraukan bantahan itu dan terus membaca usul pelantikan Mohamad Ariff sebagai calon speaker.

Usul itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mohamad Ariff terus dimasyhurkan sebagai speaker diikuti majlis mengangkat sumpah ahli-ahli parlimen lain.

Bagaimanapun dua wakil rakyat BN, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilihat terus kekal dalam Dewan ketika sidang media pembangkang berlangsung. – MalaysiaGazette