KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan mewakili parti pembangkang, Barisan Nasional (BN) mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menafikan hak bersuara pembangkang dalam soal pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, kerajaan baharu itu tidak menunjukkan amalan demokrasi sebaliknya menidakkan peluang pembangkang untuk bersuara dalam hari pertama Persidangan Parlimen Ke-14 di sini.
“Saya nak khidmat pada rakyat dan mahu menjadi ahli pembangkang yang bersifat membina dan memainkan peranan supaya prinsip demokrasi dalam negara sentiasa sihat dan berjalan dalam keadaan bermakna.
“Dulu bila kami dalam kerajaan, selalu dipersalahkan. Kini mereka sepatutnya menunjukkan bahawa peluang untuk pembangkang bersuara yang telah dinafikan sebenarnya dalam pelantikan speaker.
“Seperti saya tegaskan, kami bukan bantah pencalonan speaker tetapi bantah peraturan dewan gagal dipatuhi dalam perkara ini selain wakil rakyat BN tak diberi peluang meluahkan suara,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau antara 222 wakil rakyat yang mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat pada persidangan pagi tadi bermula 10 pagi dan berakhir pukul 12.30 tadi.
Ditanya mengenai tindakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Anifah Aman – kedua-dua mewakili BN – yang tidak mengikut bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi keluar dewan membantah dalam isu itu, Najib ‘melepaskan’ perkara itu kepada pucuk pimpinan parti.
“Mereka (KJ dan Anifah) perlu menjelaskan kenapa mereka bertindak demikian (tak tinggalkan Dewan Rakyat),” ujar beliau.
Mengulas mengenai pelantikan Mohamad Ariff, katanya, pihaknya mengetahuinya menerusi kenyataan speaker hanya diputuskan pada 9 Julai lalu.
Katanya, semua pihak termasuk kerajaan memerintah harus mematuhi peraturan parliaman.
Tegas beliau, sebagai pembangkang mahu tetap mempertahankan peraturan perundangan dipatuhi dalam perkara tersebut sambil mendesak kerajaan PH mematuhi apa yang dijanjikan dalam manifesto mereka.
“Sebagai parti memerintah baharu mereka seharusnya menunjukkan undang -undang dihormati sebab ahli Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat dan rakyat mahu undang-undang dipatuhi,” tegas beliau. – MalaysiaGazette.