Home Nasional LRT3: Spesifikasi disemak semula mampu tampung permintaan, tepati piawaian

LRT3: Spesifikasi disemak semula mampu tampung permintaan, tepati piawaian

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri Azman Nasrudin berkata ketika ini, rakyat di negeri ini lebih suka menggunakan kenderaan persendirian berikutan pengangkutan awam yang ditawarkan di Kedah tidak efisien.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Saiz stesen dan kapasiti tren LRT3 dikurangkan kerana pengurusan Prasarana Malaysia sebelum ini telah memberi spesifikasi yang melebihi unjuran dan keperluan.

Menurut Kementerian Pengangkutan, spesifikasi yang disemak semula mencukupi untuk menampung permintaan pada sesuatu masa selain menepati piawaian antarabangsa.

Katanya, sebanyak 22 set tren 3 gerabak seperti dicadangkan selepas semakan semula adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung permintaan penumpang pada waktu ini.

“Semasa waktu puncak, bilangan maksimum penumpang yang diunjurkan bagi satu arah setiap jam (pphpd) adalah 6,185 untuk tahun 2034.

“Jumlah ini mampu ditampung oleh 22 set tren 3 kereta yang dapat membawa 6,210 penumpang satu arah sejam,” kata kenyataan itu itu hari ini.

Kenyetaan itu dikeluarkan bagi menjelaskan beberapa isu yang ditimbul seperti pengurangan set tren dan bilangan stesen yang dikatakan akan menjejaskan keselesaan penumpang.

Pada minggu lalu, Kabinet meluluskan pembinaan projek LRT3 selepas kosnya dikurangkan sebanyak 47 peratus kepada RM16.63 bilion.

Pengurangan kos itu menyaksikan penjimatan sebanyak RM15.02 bilion berbanding kos awal sebanyak RM31.65 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengurangan kos itu akan menyaksikan beberapa perubahan seperti pengurangan tempahan 42 set tren 6 gerabak kepada 22 set tren 3 gerabak.

Menurut Kementerian Kewangan, bagi meningkatkan keupayaan menampung penumpang selepas 2050, tambahan set tren 3 gerabak boleh didapatkan kemudian memandangkan stesen-stesen LRT boleh menampung set tren 4 gerabak.

Menurutnya, sistem LRT3 dirancang sedemikian agar ia dapat dinaik taraf dari selang masa selama 6 minit pada masa ini kepada selang masa yang lebih singkat iaitu selama 2 minit dan mampu menampung penumpang sehingga 18,630 pphpd pada waktu puncak iaitu kira-kira 7,000 penumpang lebih tinggi daripada jumplah penumpang yang diunjurkan untuk 2050.

Katanya, piawaian antarabangsa menetapkan antara 6 hingga 8 penumpang bagi setiap meter persegi namun pada setiap masa, muatan penumpang akan berada di bawah paras 6 penumpang bagi setiap meter persegi.

Menurut kenyataan itu, jumlah 22 set tren tersebut termasuk peruntukan bagi 2 set tren di bawah penyelenggaraan dan satu set tren untuk tujuan bersiap sedia, juga menepati piawaian antarabangsa.

“Pembelian seterusnya akan dibuat mengikut peruntukan yang sama.

“Stesen-stesen yang dibina bagi menampung set tren 4 gerabak yang mampu menampung jumlah penumpang bagi tahun 2050 dan seterusnya.

“Selain itu saiz platform dan concourse juga dapat menampung aliran penumpang bagi tahun 2050 dan seterusnya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pengangkutan memberi sokongan padu terhadap keputusan untuk meneruskan projek LRT3 sepanjang 37 kilometer it.

Ia merupakan satu projek yang amat kritikal untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas sepanjang koridor pembangunan ekonomi yang penting dan padat dengan penduduk di Lembah Klang, terutamanya dari Klang ke Petaling Jaya.

Jajaran LRT baharu itu dijangka memberi manfaat kepada 2 juta penduduk dengan keupayaan mengangkut 36,700 penumpang sejam setiap arah. – MalaysiaGazette