Home Nasional Himpunan oleh Pemantau Malaysia Baru bakal disiasat

Himpunan oleh Pemantau Malaysia Baru bakal disiasat

KUALA LUMPUR – Polis memberi jaminan akan menyiasat kenyataan penganjur himpunan aman yang dianjurkan oleh Pemantau Malaysia Baru hari ini.

Memetik portal MalaysiaKini, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, polis akan memanggil penganjur dalam masa terdekat bagi merakamkan kenyataan.

“Kami akan merekodkan keterangan daripada pihak penganjur berdasarkan laporan polis yang dibuat terhadap mereka. Mereka akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” menurutnya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, perhimpunan itu melanggar undang-undang kerana penganjur telah mengadakannya tanpa permit.

Hampir 300 NGO menyertai perhimpunan aman anjuran Pemantau Malaysia Baru diadakan bagi menunjukkan solidariti kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Antara yang menyertai himpunan hari ini adalah pelakon, Ellie Suriaty Omar selain Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Norr Adam.

Pada mulanya hasrat mereka adalah untuk berarak ke bangunan Parlimen namun dihalang oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). -MalaysiaGazette