Home Ekonomi Kalau SST tinggi lebih baik kekal GST

Kalau SST tinggi lebih baik kekal GST

KUALA LUMPUR – Adalah lebih baik kerajaan mengekalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih tinggi.

Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Dr Hamdan Adnan berkata, tidak ada gunanya Kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan GST jika SST lebih tinggi hingga membebankan pengguna.

Katanya, kerajaan perlu menunaikan janji manifesto untuk menghapuskan GST yang didakwa membebankan rakyat hingga menaikkan kos sara hidup rakyat.

“Dulu janji hendak memperkenalkan inisiatif yang mengurangkan beban rakyat, tunaikanlah. Tapi kalau SST pun lebih tinggi daripada GST apa cerita ni,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hamdan berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin seperti yang dilaung-laungkan, Pakatan Harapan perlu membuktikan apa yang dilaksanakan sama seperti yang dijanjikan.

Tegas beliau, Malaysia sepatutnya mengambil contoh negara-negara maju – walaupun mengenakan pelbagai cukai tetapi harga barangan dan perkhidmatan masih murah.

“Hairannya di Malaysia ni suka tukar nama cukai tapi harga tak turun-turun. Nak wujudkan cukai, buatlah. Takut kalau tak buat nanti negara bankrap pula.

“Tetapi jangan sengsarakan rakyat sudahlah. Jangan sampai ada rakyat menderita, yang kebuluran,” katanya.

Hamdan berkata, sudah hampir sebulan setengah GST disifarkan tetapi harga barang makanan mentah masih mahal.

Katanya, menteri yang terlibat sepatutnya berhenti menyatakan harga barang-barang murah sebaliknya turun padang memantau trend harga.

“Melaung-laung kata barang murah, itu beliau kata. Tapi majoriti rakyat masih kata barang mahal. Macam mana tu.

“Sehinggakan sampai satu peringkat saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang dibuat pemerintah, adakah tahu berpolitik atau bercakap untuk menyedapkan halwa telinga sahaja?

“Kalau semua buat kerja, adakah penguatkuasa menjalankan tugas mereka sebaik-baiknya?,” katanya. – MalaysiaGazette