Home Ekonomi KWAP cadang tambah pengurus dana antarabangsa

KWAP cadang tambah pengurus dana antarabangsa

KWAP
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad bercakap pada sidang media pada Persidangan Alam Sekitar anjuran KWAP di Grand Hyatt, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 JULAI 2018

KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berhasrat untuk menambah dua lagi pengurus dana antarabangsa bagi menguruskan ESG mereka.

ESG merupakan portfolio alam sekitar, sosial dan urustadbir.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, ketika ini KWAP telah melantik empat pengurus dana antarabangsa dan dua lagi pengurus dana tempatan.

Secara keseluruhan, KWAP mempunyai peruntukan sebanyak RM3.8 bilion bagi mandat ESG yang diuruskan oleh pengurus luar sama ada tempatan mahu pun antarabangsa.

“Kami berhasrat untuk memberikan setiap pengurus dana luar AS$100 juta (RM400 juta) untuk menguruskan pelaburan ESG antarabangsa.

“Buat masa ini, kami masih belum menggunakan sepenuhnya jumlah tersebut,” katanya semasa sidang media di sini.

Tambahnya, KWAP juga berhasrat untuk meluaskan lagi mandatnya dalam portfolio ESG kepada pelaburan alternatif termasuk hartanah dan ekuiti swasta.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan KWAP untuk membeli kepentingan sebuah syarikat insuran antarabangsa susulan arahan Bank Negara yang mahukan 70 peratus pemilikan di dalam syarikat sedemikian adalah milik tempatan, Wan Kamaruzaman hanya menjawab “bola di tangan mereka (syarikat insurans tersebut).”

Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan KWAP berminat untuk mengambil alih saham Prudential Assurance Malaysia Bhd., anak syarikat Prudential Plc yang berasal dari Britain.

Ditubuhkan pada 1991, KWAP merupakan dana persaraan kedua terbesar selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan aset keseluruhan di bawah pengurusan RM125 bilion yang mana RM2 bilion adalah aset berkaitan ESG.- MalaysiaGazette