Home Utama SST bukan 16 hanya 10 peratus, kata Tun M

SST bukan 16 hanya 10 peratus, kata Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama barisan menteri-menteri kabinet turut hadir pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2018 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 JULAI 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama barisan menteri-menteri kabinet turut hadir pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2018 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menjadi sistem percukaian yang telus apabila diperkenalkan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) kelak.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelaksanaan SST akan memudahkan rakyat untuk membuat pilihan sama ada mahu barangan yang mempunyai cukai SST atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana pelaksanaan SST akan bersifat telus dan tidak membebankan rakyat seperti yang berlaku semasa GST.

“SST bukannya 16 peratus.. saya juga tidak tahu mengenai 10 plus 6. Setahu saya 10 peratus sahaja (cukai SST) sekiranya kamu membeli barang.

“Kalau tidak membeli barang, kamu tak perlu bayar. GST ialah cukai kamu tidak membeli pun semua harganya melambung naik,” tegasnya ketika ditemui di Lobi Parlimen hari ini.

Diminta mengulas mengenai titah Yang Dipertuan Agung, Sultan Muhammad V, Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata, mesej baginda mahu kerajaan perlu bersifat sederhana dan bertimbang rasa terhadap agama lain.

“Mereka juga harus menghormati kita punya agama (Islam). Kalau kita mencabul agama lain kita akan menerima padahnya,” ujar Mahathir.

Ditanya mengenai saranan Seri Paduka supaya ahli Parlimen berhemah selama 20 hari bersidang, Mahathir secara berseloroh yang ahli parlimen sukar dikawal apa yang mereka mahu cakap semasa Dewan Rakyat.

“Lagi pun kita punya dasar ialah tidak menyekat suara mereka dan membiarkan mereka bercakap apa sahaja (Dewan Rakyat),” katanya.

Mengenai sindiran Yang Dipertuan Agong meminta ahli dewan rakyat supaya tidak ‘lari’ semasa titah perasmian sama ada maksud tersirat, Mahathir berkata;

“Itu dia (baginda) joke. Yang makan cili dia rasa pedas,” katanya secara berseloroh. – MalaysiaGazette