KUALA LUMPUR – Dasar Pendidikan Negara akan dikaji semula bagi memastikan kurikulum ditambah baik dari prasekolah sehingga ke peringkat tertinggi di universiti.
Menurut Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memastikan kajian itu dijalankan dalam masa terdekat.
“Antara yang akan diberi perhatian termasuklah kesedaran sivik, pengukuhan penggunaan sains teknologi dan tidak lupa juga dengan nilai-nilai murni,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam (PH) berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tambun, Ahmad Faizal Azumu (PH) yang juga Menteri Besar Perak mengenai hala tuju pendidikan kebangsaan pada masa depan.
Jelas beliau, jawatankuasa itu juga akan dianggotai golongan profesional akademik, politik, pakar agama dan juga pimpinan badan bukan kerajaan.
Dalam pada itu, Maszlee berkata, penggunaan Bahasa Inggeris kepada pelajar luar bandar secara khusus akan digalakkan tanpa menggangu kepentingan Bahasa Malaysia.
“Kita sedar kepentingan penggunaan Bahasa Inggeris terutamanya yang berada luar bandar. Kita bercadang untuk menghantar guru pakar bahasa Inggeris ke kawasan-kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, kita tidak akan sesekali pinggirkan Bahasa Malaysia atau kepentingan ianya akan diberi perhatian,” katanya.
Tambah Maszlee, usaha itu juga sebenarnya untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan guru, membawa masuk guru-guru yang telah bersara serta golongan siswazah yang berminat. – Malaysia Gazette