KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat yang bersambung jam 2.30 petang tadi untuk sesi membahaskan titah ucapan diraja menyaksikan Ramkarpal Singh (PH – Bukit Gelugor) diarahkan keluar dari dewan.
Ketetapan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof setelah Ramkarpal ingkar arahan menarik balik kenyataan ‘samseng’ yang dikeluarkan menuduh Pemuda UMNO samseng dan gangster.
Ariff yang kembali mengendalikan Dewan berkata, ketetapan telah dibuat oleh Timbalannya, Datuk Rashid Hasnon supaya Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menarik balik perkataan samseng sebelum dewan berehat jam 1 petang tadi.
“Ketetapan sudah dibuat, Bukit Gelugur kena tarik balik,” kata Mohamad Ariff selepas Dewan Rakyat bersambung semula sebentar tadi.
“Maaf Speaker, saya tidak mahu tarik balik,” jawab Ramkarpal.
Mohamad Ariff menjelaskan bahawa itu adalah ketetapan yang dibuat dan Ramkarpal perlu mematuhi keputusan tersebut.
“Itu ketetapan dari Parlimen. Tarik balik. Bentara sila iring Bukit Gelugor keluar dewan,” tegas Mohamad Ariff.
Cha Kee Chin (PH-Rasah) bangun dan mempersoalkan mengenai ketetapan sama yang dibuat terhadap Datuk Seri Bung Mokhtar (BN-Kinabatangan).
Mohamad Arif turut meminta Kinabatangan untuk mengambil tindakan yang sama.
“Bagaimana dengan Kinabatangan,” kata Cha Kee Chin.
“Kinabatangan tarik balik,” arah Mohamad Ariff.
Jawab Bung Mokhtar, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana ketetapan itu tidak dibuat ke atasnya.
“Saya boleh tarik balik, tapi Timbalan Speaker tidak buat ketetapan ke atas saya. Saya akan tarik balik, tapi duduklah. Saya nak tarik balik, tapi bagaimana sebab ketetapan tidak dibuat ke atas saya,” ujar Bung Mokhtar.
Mohamad Ariff mengarahkan Bentara Dewan Rakyat agar turut mengiringi Bung Mokhtar untuk keluar dewan.
Namun Bung Mokhtar akhirnya menarik balik kenyataan samseng yang ditujukan terhadap R. Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong) sebelum ini. – MalaysiaGazette