KUALA LUMPUR – Eden Hazard kini menghitung hari meninggalkan Chelsea apabila dikatakan telah mencapai persetujuan secara lisan dengan Real Madrid.
Media Perancis, RMC Sport melaporkan Real belum mencapai kata putus berhubung bidaan Hazard dengan Chelsea.
Hazard bagaimanapun masih memiliki baki kontrak selama dua musim di Stamford Bridge tetapi nilainya akan jatuh merudum jika dia gagal menandatangani kontrak baharu bersama The Blues.
Pada minggu lalu, Chelsea didakwa menuntut bidaan sekurang-kurangnya 200 juta pound sterling dari Real.
Masa depan pemain berusia 27 tahun itu di Stamford Bridge masih menjadi teka-teki selepas mempamerkan aksi memberangsangkan bersama Belgium pada kempen Piala Dunia 2018 dengan menang ke atas England dalam aksi penentuan tempat ketiga temasya empat tahun sekali itu.
“Sudah tiba masanya untuk meneroka sesuatu yang baharu selepas enam tahun menakjubkan di Chelsea
“Selepas Piala Dunia ini, saya akan membuat keputusan jika mahu kekal atau pergi tetapi Chelsea akan buat keputusan akhir – jika mereka mahu melepaskan saya. Anda tahu destinasi pilihan saya,” kata Hazard.
RMC Sport turut melaporkan Chelsea dan Real sudah bersetuju bidaan 31 juta pound sterling untuk penjaga gol. Thibaut Courtois.
Penjaga gol Belgium itu akan menandatangani kontrak selama empat tahun dengan juara Liga Juara-Juara tersebut. – MalaysiaGazette