PUTRAJAYA – Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengambil rasuah disifatkan lebih teruk daripada penyangak.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, pegawai seperti itu perlu dicantaskan terlebih dahulu daripada jabatan tersebut.
Tegas beliau, pegawai tersebut bukanlah kakitangan Kastam tetapi bekerja untuk orang luar.
“Pegawai Kastam sering dituduh berdepan ambil rasuah tapi saya hendak buat pengakuan hari ini memang ada kebenaran dan saya tidak nafikan.
“Kalau saya tidak mengaku kelemahan, kita tidak akan cari penyelesaian namun kelemahan bukan daripada warga Kastam sahaja.
“Banyak faktor yang turut menyumbang kepada masalah ketirisan dan salah guna kuasa serta rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Breakfast Talk Integriti ‘Membanteras Ketirisan Hasil Negara’ di sini hari ini.
Sementara itu, program Breakfast Talk Integriti ‘Membanteras Ketirisan Hasil Negara’ merupakan anjuran JDKM, Institut Integriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Transparency International Malaysia.
Subromaniam menegaskan, JKDM tidak mempunyai apa untuk disorok dan sanggup menerima kritikan untuk membaiki persepsi dalam kalangan kalangan masyarakat.
“Jenis-jenis rasuah di Kastam adalah rasuah secara rutin untuk mempercepatkan prosedur pelepasan Kastam
“Kedua adalah rasuah secara penipuan apabila pegawai secara sedar melepaskan dagangan tanpa melalui proses yang sebenar
“Rasuah ketiga berbentuk kriminal (jenayah) iaitu membantu pengedaran dadah, pemalsuan dokumen, penglibatan dalam penyelewengan dan lain-lain,” katanya. – MalaysiaGazette