Home Politik PRK Sg Kandis : SPR jumpa pemerhati tempatan esok

PRK Sg Kandis : SPR jumpa pemerhati tempatan esok

Suruhanjaya Pilihan Raya

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pertemuan dengan pemerhati tempatan yang dilantik bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis esok.

Unite Komunikasi Korporat SPR dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pemerhati tempatan untuk sesi taklimat khas berkaitan urusan PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

SPR akan memberi taklimat berkaitan urusan dan proses undang-undang mengenai PRK Sungai Kandis pada Khamis esok di Dewan Serbaguna Menara SPR.

Pemerhati tempatan itu terdiri daripada wakil Badan Bukan Kerajaan yang dilantik SPR untuk memantau proses perjalanan PRK kali ini.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamad Elias Abu Bakar akan mempengerusikan sesi taklimat khas itu.

SPR yang bermesyuarat pada 9 Julai lalu menetapkan 21 Julai ini sebagai hari penamaan calon.

Manakala SPR memberi 14 hari tempoh berkempen manakala hari mengundi ialah pada 4 Ogos ini.

PRK Sungai Kandis sebelum ini dikenali sebagai Sri Muda ditetapkan berikutan kekosongan kerusi itu selepas penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma sekitar pukul 11 pagi 2 Julai lalu selepas menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sejak awal Jun lepas.

Pada 3 Julai lalu, SPR memaklumkan bahawa pihaknya sudah menerima notis dari Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim mengenai kematian penyandang itu.- MalaysiaGazette