Home Nasional Sedia turun harga jika gula, tepung diberi subsidi

Sedia turun harga jika gula, tepung diberi subsidi

Presiden Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Datuk Syed Jamarulkhan S.Kadir bercakap pada sidang media bagi membantah kenyataan Menteri KPDNKK yang menyalahkan operator makanan India Muslim dalam isu pasca GST di Hotel Sunrise, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 JULAI 2018.

PETALING JAYA –  Harga makanan dan minuman di restoran India Muslim atau mamak boleh diturunkan pada kadar munasabah sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedia mempertimbangkan agar subsidi gula dan tepung dikembalikan.

Presiden Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Datuk Syed Jamarulkhan S.Kadir berkata, pemberian semula subsidi kepada bahan asas itu secara tidak langsung mampu membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Subsidi gula, tepung dulu ada main peranan sebab bahan-bahan ini adalah keperluan asas rakyat.

“Kalau kerajaan nak bagi balik, insya-Allah harga makanan akan turun kerana sebarang pengurangan kos pembuatan mesti diberikan dan kembali kepada pengguna.

“Bukan harapan kami (kembali subsidi) tapi harapan semua rakyat,” katanya pada sidang media di Hotel Sunrise, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang mendedahkan kira-kira 30 peratus pengusaha restoran India Muslim masih tidak menurunkan harga selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada sifar sejak 1 Jun.

Datuk Syed Jamarulkhan S.Kadir
Presiden Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Datuk Syed Jamarulkhan S.Kadir bercakap pada sidang media bagi membantah kenyataan Menteri KPDNKK yang menyalahkan operator makanan India Muslim dalam isu pasca GST di Hotel Sunrise, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 JULAI 2018.

Syed Jamarulkhan menambah, harga makanan dan minuman juga boleh diturunkan jika tarif elektrik dan kos pengangkutan dapat dikurangkan.

“Harga makanan boleh turun jika Tenaga Nasional Berhad (TNB) turunkan harga tarif, sewa diturunkan oleh pengusaha, kos pengangkutan akan dikurangkan, kerana ia rangkaian pembekal,” katanya.

Katanya lagi, beliau kesal apabila Kerajaan PH membenarkan TNB menaikan tarif elektrik baharu kepada pengguna komersil sedangkan pengusaha restoran tidak dibenar menaikkan harga barang.

“Saya difahamkan TNB akan menaikkan tarif elektrik tidak lama lagi, apabila tarif naik, kerajaan benarkan, tapi kerajaan tak bagi naik harga (makanan dan minuman), itu pun tidak betul.

“Dalam apa pun perniagaan, apabila kos pengeluaran naik, kos itu akan dipindah secara automatik kepada pengguna.

“Banyak kos ini ditanggung sendiri oleh operator, TNB sudah banyak kali naik, subsidi tepung dan gula dikeluarkan, tapi roti canai sama harga, teh tarik sama harga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette