Home Nasional ‘Semua nak buli speaker’

‘Semua nak buli speaker’

Beberapa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menimbulkan suasana kecoh mengenai ketetapan Speaker, Datuk Mohamad Ariff MD Yusof pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat yang memulakan sidangnya hari ini kecoh apabila berlaku perang mulut antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berhubung kredibiliti Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Perang mulut antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu berlaku semasa Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) membahaskan usul titah Yang di-Pertuan Agong.

“Semua ini kawan-kawan saya, semua nak buli speaker sahaja. Tahulah awak senior (sambil tunjuk kepada Ahli Parlimen Parit Sulong,” kata Johari.

“Mana ada nak buli speaker?,” jawab Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong).

MGF18072018_PARLIMEN MALAYSIA18

Beberapa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menimbulkan suasana kecoh mengenai ketetapan Speaker, Datuk Mohamad Ariff MD Yusof pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2018.

Rules of law,” teriak beberapa ahli parlimen pembangkang antaranya Datuk Seri Bung Mokhtar (BN-Kinabatangan), Datuk Samsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Kurau).

“Perkara 43 (merujuk kepada keputusan Speaker adalah muktamad), Yang Berhormat Speaker,” kata Ismail yang juga merupakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Adakah ini namanya kerajaan baharu?,” celah Bung Mokhtar.

Mohamad Ariff kemudian membuat ketetapan bahawa setiap ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan ketetapan yang dibuat oleh beliau agar keluar dewan.

Sebelum itu, Mohamad Ariff telah berulang kali cuba untuk menenangkan semua ahli Parlimen namun tidak diendahkan.

“Kalau semua ahli Parlimen tidak duduk, boleh keluar,” katanya dengan tegas.

Episod pertikaman lidah itu berlaku selama 45 minit. Dewan bersambung semula jam 2.30 petang. -MalaysiaGazette

+ posts