Home Nasional Ada barang 0% SST – Kastam

Ada barang 0% SST – Kastam

T. Subromaniam .

PETALING JAYA – Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk barangan dibahagikan kepada kategori iaitu kosong, lima dan 10 peratus manakala perkhidmatan adalah pada kadar 6.0 peratus.

Sehubungan itu, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk T. Subromaniam persepsi  bahawa cukai ini akan ditetapkan pada kadar 16 peratus adalah tidak benar. 

“Kadar cukai yang dicadangkan ialah untuk cukai jualan majoriti barang-barang adalah pada kadar kosong, ada barang yang tertakluk pada 5 peratus dan ada barang yang tertakluk kepada 10 peratus. 

“Tidak betul cukai sebenarnya 16 peratus. Kenapa semua orang tidak melihat yang 0 peratus. Ada yang 5 (peratus) ada 10 (peratus) kemudian perkhidmatan 6 peratus.

“Jangan gabungkan perkhidmatan terus kepada pelanggan untuk pelanggan 6 peratus,” katanya kepada pemberita. 

Malah, katanya, SST turut mengambil keperluan golongan B40 kerana banyak barangan akan dikenakan pada kadar 0 peratus.

Subromaniam berkata, adalah tidak adil menjangkakan SST akan menyebabkan  kenaikan harga barang kerana cukai itu bukan satu-satunya punca kenaikan harga, sebaliknya terdapat faktor-faktor lain yang turut menjadi penyumbang. 

“Bergantung kepada permintaan dan penawaran sama ada, faktor menarik, faktor luaran.

“Jadi jangan salahkan cukai sahaja di atas kenaikan harga barang. Banyak faktor yang menentukan harga barang, cukai hanya satu komponen kecil,” katanya. 

Beliau memaklumkan, perincian mengenai SST telah dimuat naik di portal rasmi SST bermula hari ini. 

“Pada hari ini ini, kita akan muat naik dalam portal kita.

“Portal GST yang lepas ini akan dikenali sebagai portal SST. Portal SST /GST berkuatkuasa 1 Ogos ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette