KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya bercadang untuk menangguhkan sementara Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura (HSR) dan bukannya telah bertindak membatalkan keseluruhan inisiatif itu.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan ketika ini tidak mempunyai dana secukupnya untuk membayar pampasan terlalu besar kepada Singapura sebaliknya membuat keputusan menangguhkan projek tersebut.
Sebelum ini, Tun Mahathir pernah mendedahkan kerajaan perlu membayar pampasan sekurang-kurangnya RM500 juta jika bertindak membatalkan projek mega HSR itu.
“Kita tidak boleh bercakap tentang pampasan ketika ini, kita juga tidak mempunyai dana yang mencukupi seandainya mahu membatalkan terus projek HSR kepada Singapura.
“Ketika ini, perbincangan dan rundingan semula dengan Singapura akan dijalankan dalam masa terdekat diwakili Menteri Hal-Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali sedang berjalan.
“Singapura juga mahu apakah status berkaitan dengan projek ini. Ketika ini, dengan situasi ekonomi, kita tangguhkan dulu HSR,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kedudukan terkini berhubung status projek mega HSR antara Malaysia dan Singapura yang masih lagi menjadi persoalan sejak kerajaan Pakatan Harapan menerajui negara.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga perlu mengkaji implikasi kontrak serta kos projek tersebut.
Sebelum ini, perdana menteri pernah membayangkan untuk membatalkan projek tersebut kerana ia tidak memberi manfaat seperti yang dinyatakan selain daripada melibatkan kos yang tinggi kepada negara.
Singapura pula baru-baru ini melalui Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon menyatakan negara itu masih menunggu jawapan balas rasmi daripada Malaysia berhubung projek HSR.
Khaw Boon berkata, pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas sebaliknya hanya mengetahuinya melalui media masa berhubung penamatan itu. – MalaysiaGazette