Home Politik PRK Sg Kandis: Pemuda UMNO beri bayangan satu lawan satu

PRK Sg Kandis: Pemuda UMNO beri bayangan satu lawan satu

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 JULAI 2018

KUALA LUMPURĀ – Pemuda UMNO membayangkan tiada pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini memandangkan Pas sedia memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu hanya boleh dimuktamadkan sekiranya Pas benar-benar sepakat dengan pucuk pimpinan BN untuk tidak meletakkan calonnya dalam pilihan raya kecil pertama selepas PRU14 itu.

“Setakat yang kami dimaklumkan kita akan berlaku satu lawan satu dan kita kena tanya Pas memang memberi laluan atau tidak.

“Setakat yang dimaklumkan kepada pucuk pimpinan (BN), memang Pas memberi laluan kepada BN,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama sayap UMNO itu di Menara Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWCT), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan menyatakan kesediaan parti itu untuk berbincang dengan UMNO berhubung cadangan mengemukakan hanya seorang calon pembangkang pada PRK Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Nasrudin berkata pihaknya menunggu perbincangan diadakan kerana berpendirian pembangkang sewajarnya menghantar seorang saja calon pada PRK kali ini.

Asyraf juga berkata, UMNO sewajarnya meletakkan calon dalam kalangan orang muda dalam pilihan raya kali ini memandangkan hampir 90 peratus kepimpinan bahagian parti itu kini terdiri daripada muka baharu.

“Pemuda telah mencadangkan calon daripada orang muda untuk diperinci dan diputuskan oleh pucuk pimpinan

“Kita menunggu keputusan pucuk pimpinan. Pemuda UMNO menaruh harapan calon dalam kalangan orang muda yang akan mewakili PRK Sungai Kandis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette