Home Nasional SST: Lebih duit dalam kocek rakyat

SST: Lebih duit dalam kocek rakyat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail (tengah) melihat harga barang-barang keperluan semasa membuat tinjauan di Lulu Hypermarket, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 JULAI 2018
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail (tengah) melihat harga barang-barang keperluan semasa membuat tinjauan di Lulu Hypermarket, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution berkata pelaksanaan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) akan memastikan lebih banyak duit untuk rakyat.

Ujar beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya mengutip cukai separuh daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Perbezaan RM21 bilion ini jika (dibandingkan) pelaksanaan GST, kita cuma anggaran kutipan (SST) RM21 bilion sahaja.

“Jika RM21 bilion itu tidak dikutip sebagai pendapatan kerajaan kerana melaksanakan SST maka RM21 bilion itu ada dalam kocek rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Pasaraya Lulu sempena program promosi ‘Arabian Fest’ hari ini.

Tambah Saifuddin, SST yang membabitkan peringkat pengeluar sahaja akan membolehkan rakyat selaku pengguna mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi apabila cukai itu dilaksanakan kelak.

“Duit itu tidak jadi milik kerajaan tapi jadi milik rakyat. Adanya duit itu dalam kocek rakyat, ia boleh meningkatkan kuasa beli rakyat. Itu secara logiknya.

“Kalau tidak sampai ke kantung Perbendaharaan, ia ada dalam kocek rakyat. SST dan GST perbezaannya adalah dalam kocek, rakyat ada duit kerana ia tidak menjadi kutipan, menjadi sumber kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, Setiausaha Agung PKR itu berkata, kementeriannya telah menerima ulasan daripada Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan SST.

Katanya, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kesemua ulasan kerana ia melibatkan pengguna secara total.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk kami meneliti beberapa jangkaan asal. Ketua Setiausaha Kementerian kata ulasan itu telah sampai untuk kita teliti.

“Saya belum baca lagi, tapi KSU maklumkan bahawa ulasan mengenai pelaksanaan SST turut memerlukan komen daripada pihak kementerian dan saya akan mengambil masa untuk teliti perkara itu dan pada masa yang sesuai saya akan berikan ulasan,” jelas beliau.

SST akan dilaksanakan mulai 1 September depan bagi menggantikan GST yang kini pada kadar sifar peratus. -MalaysiaGazette