KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, sehingga hari ini parti belum membuat sebarang keputusan dalam apa-apa mesyuarat yang diadakan sebelum ini.
“Kita masih ada satu hari lagi sebelum hari penamaan calon pada Sabtu 21 Julai ini. Keputusan siapa calon pun belum dibuat lagi.
“Kita serahkan pada pimpinan parti dan kita tunggu saja esok untuk kita siap siagakan jentera turun berkempen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan “Bicara Hasanah” anjuran Pergerakan Wanita UMNO di Auditarium Bangunan Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Penceramah Bicara Hasanah ialah Pengerusi Pusat Pendidikan Al-Baraqah, Datuk Kazim Elias.
PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Suhaimie Shafie yang meninggal akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Menurut Noraini, Wanita UMNO sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, tetapi tidak menolak kemungkinan ada sedikit perbezaan dari segi gerak kerja kempen yang akan dilakukan sayap UMNO itu dalam tempoh berkempen bermula Sabtu ini.
Beliau juga tidak mahu membuat sebarang keputusan dari segi kempen, berikutan khabar angin mengatakan Pas tidak akan meletakkan calon dan akan memberi peluang kepada BN untuk bertanding.
“Keputusan calon, sama ada Pas atau BN belum dibuat dalam apa-apa mesyuarat. Yang pasti, kita sudah bersedia, cuma cara kempen itu menjadi berbeza dalam keadaan sekarang ini.
“Ada yang kata UMNO akan letak calon dan Pas tidak akan letak calon, itu hanya andaian. Keputusan muktamadnya kembali kepada pucuk pimpinan parti. Komponen BN setakat ini ada tiga iaitu UMNO, MIC dan MCA.
“Walau apapun keputusan parti itu, saya percaya kita buat yang terbaik. Wanita akan pastikan buat kerja yang terbaik untuk kemenangan parti. Kalau Pas letakkan calon sekalipun, kita akan dengar arahannya,” kata beliau. – MalaysiaGazette