LONDON – Penyokong Liverpool kini boleh menarik nafas lega selepas kelab Merseyside itu telah melengkapkan perpindahan bernilai £65 juta bagi membawa masuk Alisson Becker ke Anfield.
Nilai tersebut telah menjadikan Alisson sebagai penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak.
Mengulas mengenai perpindahan ini di laman web rasmi Liverpool, penjaga gol antarabangsa Brazil itu teruja dengan langkah baru dalam karier bola sepaknya.
”Saya sangat gembira, ia merupakan mimpi yang menjadi kenyataan dapat menyarung jersi berprestij buat kelab besar ini.”
”Dari segi kehidupan dan karier saya, ini adalah langkah besar yang diambil bagi menjadi sebahagian daripada kelab ini dan keluarga ini,” katanya.
Bekas penjaga gol AS Roma yang diikat Jurgen Klopp selama enam tahun itu merupakan pemain keempat buat Liverpool bagi menghadapi musim 2018/19 selepas Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri.
Sebelum ini, Klopp telah membawa masuk Virgil Van Dijk dengan nilai £75 juta, sekaligus menjadikannya sebagai pertahanan termahal di dunia.
Skuad Liverpool dibarisi dua orang pemain yang merupakan pembelian termahal di dunia. – MalaysiaGazette