Home Nasional Dua NGO salur RM650,000 kepada Tabung Harapan

Dua NGO salur RM650,000 kepada Tabung Harapan

Penyerahan Tabung Harapan oleh Yayasan Patriot Negara Malaysia sebanyak RM650,000 kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Tabung Harapan Malaysia hari ini terus menerima sumbangan orang ramai terutamanya badan bukan kerajaan (NGO).

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima RM650,000 daripada dua NGO.

Ia adalah Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) dan Asia Pacific Platinum Business Club yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif YPNM, Muhammad Zharif Johor Nadzim kepada  Mahathir.

Muhammad Zharif berkata, pihaknya bekerjasama dengan Asia Pacific Platinum Business Club dalam menganjurkan kempen ‘Demi Pembangunan Negara’ bagi mengumpul wang sumbangan tersebut.

“Pada awalnya kami hanya menyasarkan RM250,000 dan RM50,000 telah diserahkan pada 1 Jun lalu sebagai tanda komitmen kami dalam menzahirkan semangat patriotisme sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Harapan Malaysia di Menara Yayasan Selangor hari ini.

Turut hadir, Pengarah Strategi dan Ekonomi YPNM, Burhanuddin Mohd. Noor dan Pengerusi Asia Pacific Platinum Business Club, Dr. Cecil Chao serta Ahli Kehormat Asia Pacific Platinum Business Club, Datuk Seth Yap Ting Hau.

Menurut Kementerian Kewangan, Tabung Harapan Malaysia kini mencecah RM155,999,126.02.

Tabung berkenaan dilancarkan 30 Mei lalu sebagai usaha rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan mengurangkan hutang negara yang dikatakan mencecahkan RM1 trilion. -MalaysiaGazette