Home Utama Mana ada harga naik?

Mana ada harga naik?

Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng beramah mesra dengan berswafoto bersama sebahagian ahli yang hadir pada Majlis Makan Tengah Hari sempena Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-72 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2018.
Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng beramah mesra dengan berswafoto bersama sebahagian ahli yang hadir pada Majlis Makan Tengah Hari sempena Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-72 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan harga barangan akan naik berikutan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September ini.

Sebaliknya, menurut beliau, kenaikan harga barangan berkemungkinan besar berlaku berikutan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang dilihat sengaja mengambil kesempatan.

“Mana ada naik harga? Mereka yang cuba meraih keuntungan dengan cara yang tidak baik dan sikap anti nasional itu akan dikenakan tindakan sewajarnya kelak.

“Saya telah meminta penguatkuasaan yang tegas seperti KPDNKK untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil keuntungan dengan cara tidak sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengahari Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu di Mandarin Oriental di sini hari ini.

Berikutan pelaksanaan SST dalam masa terdekat, rata-rata rakyat mula melahirkan keresahan berikutan kebimbangan kenaikan harga barang secara mendadak.

Bagaimanapun, setakat ini, kerajaan masih lagi bertegas dalam memastikan kesan kenaikan harga yang disebut itu menjadi masalah kepada rakyat terutamanya selepas pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada sifar peratus.

Terdahulu, dalam satu kenyataan media, Guan Eng berkata, pihaknya masih lagi dalam peringkat kajian senarai barang dan perkhidmatan yang akan dikecualikan daripada cukai SST nanti.

Antara barang-barang yang tersenarai untuk pengecualian adalah ‘big-ticket items’ seperti kapal terbang, kapal mewah, feri, penumpang, helikopter, kapal angkasa dan peralatan luncur salji.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T. Subromaniam mendedahkan, setakat ini, jabatannya hanya memuat naik senarai barangan berkadar sifar peratus di dalam portal rasminya. – Malaysia Gazette