Home Politik Masa untuk rakyat menilai janji 100 hari PH

Masa untuk rakyat menilai janji 100 hari PH

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO dan BN kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding.

Katanya, beliau tidak asing dengan penduduk dan pengundi DUN Sungai Kandis kerana pernah bersama Allahyarham Mat Shuhaimie Shafie ketika sama-sama menggerakkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada awal reformasi dahulu.

Menurutnya, beliau telah membuat sedikit kajian mengenai DUN itu dan jika dicampur jumlah undi yang diperolehi calon BN pada PRU-14 lalu dengan calon Pas, BN memerlukan sekurang-kurangnya 4,000 undi sahaja untuk menang pada PRK ini.

“Mengundi pada PRK ini bukan soal pilih Lokman Noor Adam dan BN. Ini adalah kayu ukur rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 100 hari.

“Dan, ini juga masanya untuk rakyat dalam DUN Sungai Kandis untuk menterjemahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan PH, yang sebelum PRU-14 menabur janji lain, tetapi selepas memerintah, mereka tidak menunaikan janjinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan pada sidang media pengumuman calon BN di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO ketika memberitahu Allahyarham Mat Shuhaimie adalah sahabat baiknya, turut meminta semua yang hadir membaca Al-Fatihah kepada roh arwah.

“Dahulu saya dan arwah ada dalam Pergerakan Pemuda Keadilan. Ramai rakan-rakan saya di Sungai Kandis,” katanya.

Beliau turut mendedahkan berlaku perselisihan fahaman antara Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam soal memilih calon parti itu bagi PRK yang sama.

Kata Lokman, pemilihan pengetua sebuah maahad tahfiz, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni pada tidak dipersetujui Mohamed Azmin.

“Saya diberitahu, Mohamed Azmin dan konco-konconya kecewa dengan sikap Wan Azizah kerana mengumumkan calonnya malam tadi tanpa ada perbincangan antara mereka,” katanya. – MalaysiaGazette