Home Politik PRK Sungai Kandis, PH sudah atur program

PRK Sungai Kandis, PH sudah atur program

Amirudin (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk Kampung Teluk Menegon, dekat Klang, dalam usaha awalnya berkempen bagi PRK DUN Sungai Kandis. Gambar ihsan Selangorkini
Amirudin (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk Kampung Teluk Menegon, dekat Klang, dalam usaha awalnya berkempen bagi PRK DUN Sungai Kandis. - Gambar ihsan Selangorkini

KLANG – Esok, Sabtu adalah hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Parti PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) Selangor telah mengumumkan calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, seorang pengetua sebuah maahad tahfiz yang berpusat di Jalan Kebun, Klang.

Selepas selesai majlis pengumuman calon malam tadi, Menteri Besar Selangor yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri, Amirudin Shari mula turun kawasan di DUN Sungai Kandis bertemu pengundi.

Lawatan atau kunjungan pertamanya hari ini ialah bersarapan pagi dengan penduduk di warung roti canai Ijai di Kampung Teluk Menegon.

Beliau tiba seawal jam 9 pagi bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dan disambut kira-kira 50 penduduk, sebelum mereka menikmati makan pagi.

Dengan waktu berkempen selama 14 hari bermula 21 Julai ini sehingga jam 11.59 malam 3 Ogos ini, Amirudin bersama jentera PH telah mengambil kesempatan awal memulakan program bertemu rakyat.

Pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan dijangka disampaikan Menteri Besar itu serta pemimpin PH di peringkat pusat turut akan turun membantu kemenangan calon PKR. – MalaysiaGazette