Home Dunia Sukan Asia: Jakarta tutup ‘sungai hitam’ elak dilihat pengunjung

Sukan Asia: Jakarta tutup ‘sungai hitam’ elak dilihat pengunjung

Para pekerja di Jakarta memasang jaring sepanjang Sungai Sentiong.
Para pekerja di Jakarta memasang jaring sepanjang Sungai Sentiong.

JAKARTA – Pentadbiran Jakarta telah menutup sebuah sungai yang sangat tercemat, dikenali kali item (sungai hitam), dengan jaring gergasi bewarna hitam berikutan kekhuatiran terhadap bau busuk selain menyakitkan mata para atlet asing semasa Sukan Asia berlangsung.

Seorang pegawai Agensi Sumber Air Jakarta, Supriyono berkata, pihaknya perlu menutupi kali item atau nama rasminya Sungai Sentiong yang menyusuri perkampungan sukan baharu di Kemayoran, tengah Jakarta.

“Kami menutupinya, oleh itu air yang tercemar dan bewarna hitam akan disembunyikan daripada pandangan atlet antarabangsa,” katanya yang dipetik kompas.com sambil menambah usaha tersebut dijangka mengurangkan bau busuk daripada sungai tersebut.

Jaring berwarna hitam akan menutupi sepanjang sungai berkenaan, menurut Supriyono seperti dipetik The Jakarta Post.

Semasa melakukan lawatan ke perkambungan sukan pada Februari lalu, Presiden Joko Widodo, atau lebih dikenali dengan pangilan Jokowi, dan Gabenor Jakarta, Anies Baswedan sedar tentang bau yang kurang enak daripada sungai itu dan bersetuju mencari jalan untuk mengurangkannya.

Pentadbiran itu telah menggunakan teknologi ‘aerators and nano bubble’ untuk membersihkan sungai tersebut namun tidak berjaya.

Menurut agensi alam sekitar bandar raya itu, Sungai Sentiong tercemar teruk apabila barangan yang tidak diperlukan dibuang ke dalam kawasan takungan air berhampiran.

Kata agensi itu, sungai tersebut juga tidak mengalir dengan betul.

Bagaimanapun, keputusan pihak berkuasa Jakarta itu mendapat maklum balas negatif daripada orang ramai yang menyatakan ia tidak dapat menyelesaikan masalah pencemaran itu.

Sukan Asia akan berlangsung di Jakarta dan Pelembang pada 18 Ogos hingga 2 September ini. – Agensi