PUTRAJAYA – Kalau diajak makan durian sememangnya rakyat Malaysia tidak akan menolak kerana sudah semestinya raja buah itu sentiasa menjadi pilihan.
Bersempena musim durian tahun ini, Pesta Durian Vaganza makan durian sampai habis di Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP) diserbu 1,500 pengunjung khususnya warga Putrajaya.
Bukan 10 atau 20 kilogram durian ditawarkan kepada pengunjung tetapi 6 tan buah itu disajikan pengunjung yang hadir bersama keluarga pada hari ini.
Program anjuran Taman Ekuestrian Putrajaya bersama PULSE Group buat julung kali itu bertujuan mempromosikan TEP sebagai salah satu produk pelancongan khususnya sukan ekuestrian dengan pelbagai aktiviti sukan berkuda seperti Joyride, Horse Carrige Ride, dan pertunjukan Horse Dressage sepanjang pesta berlangsung.
Walaupun program makan durian sampai habis hanya dimulakan 3 petang, namun orang ramai mula berkampung seawal 1.30 petang lagi.
Setiap pengunjung dewasa hanya dikenakan bayaran sebanyak RM20 manakala RM15 untuk kanak-kanak dan mereka boleh makan durian sepuas-puas sehingga habis.
Cuaca panas terik pada hari ini juga tidak menghalang keinginan pengunjung ke TEP.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PULSE, Datuk badlishah Ahmad. – MalaysiaGazette