Home Utama Pertandingan tiga penjuru PRK Sungai Kandis

Pertandingan tiga penjuru PRK Sungai Kandis

Dari kiri: Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Datuk Lokman Noor Adam dan K. Murthy bergambar selepas pengmuman calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Shah Alam.
Dari kiri: Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Datuk Lokman Noor Adam dan K. Murthy bergambar selepas pengmuman calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Shah Alam.

SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis 4 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, Barisan Nasional (BN) dan Bebas.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Shahrin Mohd Saad selepas menerima kertas pencalonan daripada calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; calon BN, Datuk Lokman Noor Adam; dan calon bebas, K. Murthy pada jam 9.08 hingga 9.35 pagi ini.

PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafie akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, Allahyarham Mat Shuhaimie menang dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari yang mendapat 11,518 undi, calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Kira-kira 1,000 penyokong dari kedua-dua parti berkumpul di depan pintu masuk ke pekarangan Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, di sini, sejak jam 7.30 pagi, untuk mengiringi calon masing-masing ke pusat penamaan calon.

Ketika kedua-dua calon dari PKR dan BN memasuki dewan, muncul seorang lelaki bangsa India berbaju batik menyerahkan kertas pencalonan kepada Shahrin.

K. Murthy, 60, yang menarik perhatian media ketika ditemui mendakwa, beliau adalah calon Bebas yang akan bertanding pada pilihan raya kecil 4 Ogos ini.

Sepanjang proses penyerahan kertas pencalonan, beliau bersama Mohd Zawawi dan Lokman diumumkan sebagai calon yang sah dan layak bertanding. – MalaysiaGazette