SHAH ALAM – Hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis hari ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Setakat jam 8 pagi tadi, hanya kelihatan dua kumpulan penyokong PH dan BN yang berkumpul serta memenuhi di luar pekarangan pusat penamaan calon di Dewan Bunga Tanjung Seksyen 19, di sini.
Keadaan ini sekali gus mengesahkan bahawa Pas memberi laluan kepada BN dan sepakat untuk memastikan PRK Sungai Kandis tidak berlaku pertandingan tiga penjuru berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.
PRK Sungai Kandis diadakan susulan penyandangnya Mat Suhaimi Shafie, 49, meninggal dunia di Pusat Perubatan (SJMC) Subang kira-kira jam 11.10 pagi pada 2 Julai lalu.
BN meletakkan calon luar, iaitu Datuk Lokman Noor Adam manakala PH pula mempertaruhkan muka baharu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni. – MalaysiaGazatte