LONDON – Chelsea akhirnya mula akur untuk menjual Eden Hazard kepada Real Madrid apabila telah mencapai persetujuan awal dengan bidaan 170 juta pound sterling (RM906 juta).
Le10 Sport melaporkan, persetujuan pertama itu dicapai dengan Chelsea berhubung tawaran bernilai RM906 juta selepas Real memulakan rundingan pada minggu ini.
Laporan itu turut mendakwa pemenang Liga Juara-Juara itu sudah mengadakan rundingan dengan bapa Hazard mengenai kontrak pemain itu.
Laporan media di Sepanyol pula mendakwa Real akan menawarkan bidaan tidak lebih 112 juta pound sterling (RM597 juta) terhadap Hazard.
Selepas kempen Piala Dunia bersama Belgium, pemain berusia 27 tahun itu memberi bayangan bahawa dia mahu meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas ini.
Malah Hazard tanpa berselindung memberitahu Real Madrid adalah destinasi pilihannya.
Hazard masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun dan enggan memperbaharui kontraknya bersama Chelsea. – MalaysiaGazette