SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Amirudin Shari berkata, tidak menjadi satu kesalahan menggunakan kereta rasmi kerajaan negeri sepanjang tempoh berkempen.
Beliau menegaskan, ia bukan satu isu besar sebaliknya perkara yang perlu dielakkan adalah penggunaan agensi untuk meraih undi menerusi pemberian sagu hati atau wang.
“Tapi itu bukan masalahnya, isu besarnya adalah kenderaan boleh digunakan tapi saya tidak gunakan agensi untuk berikan duit, cendera hati kepada pengundi.
“Sebenarnya dalam peraturan kenderaan boleh digunakan, kalau macam tu semua wakil rakyat tidak boleh menggunakan kenderaan yang berlambang sebab kenderaan itu juga tidak perlu bayar cukai kerana cukainya dibayar oleh kerajaan.
“Dont be rigid for that (Jangan terlalu ketat untuk itu) nanti lain kali saya bawa basikal, bawa motorlah,” katanya sambil bergurau kepada pemberita ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan yang baharu di sini hari ini.
Amiruddin berkata demikian ketika ditanya kedatangannya atas kapasiti parti untuk berkempen namun menggunakan kenderaan rasmi kerajaan.
Beliau terdahulu berkata kedatangannya bersama calon parti itu untuk Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni atas kapasiti ahli PKR yang berkempen.
“Saya datang melawat masjid sebagai Menteri Besar tidak jauh dari sini jadi sini jadi saya ke sini, mungkin lain saya tidak guna,” ujarnya. – MalaysiaGazette