Home Nasional Batal SOSMA akan jadikan Malaysia ‘negara koboi’ – Zahid

Batal SOSMA akan jadikan Malaysia ‘negara koboi’ – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mahu dipersalahkan selepas kerajaan baharu Pakatan Harapan bercadang untuk membatalkan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghapuskan Rang Undang-undang itu dipandang berat oleh UMNO.

Katanya, UMNO khuatir ada pihak yang menunggu peluang itu bagi menyebarkan hasutan serta dakyah dalam kalangan rakyat hingga menimbulkan kesan yang amat menakutkan.

“Dengan cadangan untuk menarik balik undang-undang ‘draconian’ yang beliau (Dr Mahathir) sendiri pertahankan di antara tahun 1981 dan 2003, dikhuatiri negara akan lebih terancam dengan meledaknya era ‘free for all’ internet dan media massa, serta perbuatan yang menjurus ke arah menggugat ketenteraman awam.

“Ditambah pula dengan hasrat melupuskan Akta Hasutan 1948 dan Akta Anti-Berita Palsu 2018, kerajaan nampaknya mahu menggalakkan provokasi dan sentimen agama, kaum dan politik di dalam negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut memberi peringatan bahawa perubahan zaman antara era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak adalah kerana wujudnya era digital yang tidak pernah dilalui ketika zaman pemerintahan perdana menteri ketika ini.

Katanya, negara kini berdepan dengan ancaman keselamatan yang dikawal menggunakan alat kawalan jauh secara terancang.

Menurutnya, pada masa ini juga banyak perubahan dalam landskap politik negara dan antarabangsa, perundangan seperti SOSMA dan Akta Hasutan sangat kena pada masanya.

“UMNO percaya kerajaan juga akan membatalkan POTA, iaitu Prevention of Terrorism Act 2015 (Akta Pencegahan Keganasan), yang memagari negara daripada sebarang kegiatan berunsurkan keganasan ala DAESH dan militan lain.

“Dr Mahathir tidak pernah menghadapi kecaman dan kritikan alam siber pada zamannya.

“Adakah beliau sudah bersedia kali ini untuk menghadapi segala fitnah dan pembohongan siber yang dilakukan PH ketika sebelum PRU14?,” soalnya.

Justeru katanya, dengan pemansuhan tersebut Malaysia akan dilihat seperti sebuah ‘negara koboi’. – MalaysiaGazette