Home Sukan FAM perlu tegas dalam pendirian

FAM perlu tegas dalam pendirian

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pameran GRADUAN Aspire 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memastikan setiap pasukan bola sepak negeri dan kelab melepaskan pemain yang dipanggil mewakili negara pada temasya Sukan Asia 2018 yang akan membuka tirainya bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu mengambil pendirian yang amat tegas berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, ini memandangkan isu berkaitan pelepasan pemain sering menjadi igauan ngeri ketua jurulatih kebangsaan dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi sebarang kejohanan.

“Saya difahamkan isu ini adalah isu lama yang sentiasa berulang setiap kali FAM dipilih bagi menghadapi kejohanan-kejohanan utama, bukan sahaja bagi kejohanan bola sepak malahan kejohanan bertemasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Saya berpandangan bahawa sekiranya FAM memilih untuk menyertai sebarang kejohanan utama, FAM perlu mengambil pendirian tegas terhadap perkara seumpama ini. Apatah lagi, persatuan bola sepak negeri adalah anggota gabungan FAM sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan FAM di peringkat pusat adalah juga keputusan di peringkat negeri sebagai anggota gabungan dan sewajarnya dihormati.

Sekiranya persefahaman ini tidak berlaku, lebih baik FAM awal-awal lagi jangan menawarkan diri menyertai kejohanan-kejohanan tersebut.

“Justeru, FAM perlu menyelesaikan isu dalaman mereka sendiri dan jangan membabitkan kepentingan negara dalam kemelut ini dan sekiranya FAM tidak mampu menyelesaikan perkara ini, saya tidak akan teragak-agak untuk memanggil perjumpaan dengan semua pihak untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Dalam kenyataan itu Syed Saddiq turut mengingatkan persatuan-persatuan negeri bahawa KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat pelaburan besar dalam membentuk para pemain ini.

“Pada saya, setiap pemain negeri atau kelab yang terpilih menyertai skuad kebangsaan wajar melihatnya sebagai satu penghormatan kerana selain daripada terpilih untuk membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa, ia juga secara tidak langsung meningkatkan nilai pemain itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette