Home Utama Isu buli doktor pelatih jadi perhatian kementerian

Isu buli doktor pelatih jadi perhatian kementerian

Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan mengadakan sesi dialog tertutup dengan doktor muda dan pelatih  bagi membincangkan masalah buli di hospital.

Menterinya, Dr. Dzulkefli Ahmad berkata, dialog tertutup itu akan diadakan dengan kerjasama jawatankuasa latihan siswazah secara berperingkat di seluruh negara tidak lama lagi.

Sesi dialog itu dicadangkan selepas suatu kajian seluruh negara mendapati hampir 80 peratus doktor pelatih mendakwa mereka dibuli di tempat kerja.

Malah ada dalam kalangan mereka didakwa cuba membunuh diri akibat tidak tahan dibuli di tempat kerja.

“Dialog itu juga melibatkan pengarah kesihatan di setiap negeri dan pegawai jabatan serta pegawai perubatan. Sampai boleh jejaskan lebih 79 peratus doktor pelatih ini saya rasa kita sangat perlu bertindak.

“Kita perlu berlaku adil dan mahu memahami sebenarnya apa yang telah mencetuskan budaya ini berleluasa.

“Saya telah mengarahkan pengarah-pengarah kesihatan negeri dan juga hospital selain Ketua Jabatan diarahkan mengumpul data aduan itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pagi tadi.

Tambah Dzulkefli, kementerian juga akan memberi keutamaan terhadap isu kebajikan doktor pelatih berkenaan untuk mencari jalan alternatif menangani isu berkenaan daripada tidak berulang.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal menyusul terhadap doktor yang membuli, Ahli Parlimen Kuala Selangor memberitahu pihaknya akan menemui semua pihak yang terlibat untuk mengadakan perbincangan serius dan mengenal pasti individu atau pakar perubatan serta pegawai yang terlibat.

“Kita nak kenal pasti individu itu dan tindakan tegas perlu dilakukan.

“Kita ada SOP (Prosedur Operasi Standard) tetapi ia tidak berkesan kerana mereka selaku doktor pelatih takut untuk tampil mengadu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette